Jumaat, 1 Julai 2016

Kini Damion Stewart bersama skuad Perlis

Perlis bakal mengikat dua pemain baharu termasuk bekas pertahanan import Pahang musim lalu, Damion Stewart bagi memperkuatkan pasukan itu menghadapi baki saingan Liga Premier musim ini.

Ketua Jurulatihnya, Dollah Salleh berkata, dia berpuas hati dengan prestasi dipamerkan bekas pemain kebangsaan Jamaica itu selepas membantu pasukannya mengikat Kelantan 1-1 dalam aksi persahabatan di Kota Bharu, malam kelmarin.

“Saya nampak dengan adanya Damion (Stewart), banyak perubahan berlaku dalam pasukan ini. Paling ketara kita nampak benteng pertahanan lebih mantap dan tersusun.

“Kemungkinan besar kita akan ikat dia, begitu juga Muamer (Svraka, pemain Bosnia). Mohamed Chikoto (pertahanan Nigeria), saya mengharapkan lebih daripada dia namun menghampakan, penyerang Bosnia (Nedo Turkovic) juga nampak kurang menyerlah,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan.

Skuad Singa Utara menggugurkan Obinna Nwaneri (Nigeria) dan Edward Junior Wilson (Liberia) serta hanya mengekalkan Kayne Vincent (New Zealand) dan Mouhamadou Sumareh (Gambia) pada jendela perpindahan kedua pemain yang dibuka bulan ini.

Jurulatih berusia 53 tahun itu turut mengesahkan khidmat Obinna, bekas pertahanan Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Junior Wilson yang pernah mewakili Felda United FC ditamatkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), baru-baru ini.

Menurutnya lagi, kehadiran Stewart dan Svraka mampu memperkasakan kembali pasukannya yang dilihat kurang menyerlah setelah sekadar menghuni tangga kelapan dalam saingan Liga Premier ketika ini.

“Kalaulah kita boleh mengekalkan corak permainan seperti bertemu Kelantan ini, Insya-ALLAH saya rasa apabila liga disambung nanti, kita boleh mengejar kedudukan kelompok teratas walaupun ketika ini Perlis ketinggalan agak jauh,” katanya.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget