Khamis, 30 Jun 2016

Kogi dan Dinesh perlu kerja keras rebut kesebelasan utama


 

Bekas pemain Harimau Muda C, R Kogileswaran dan R Dinesh yang sah menjadi milik Pahang perlu bekerja keras jika mahu berada dalam kesebelasan utama sebaik saingan Liga Super bersambung 15 Julai ini.

Pengendali Pahang, Razip Ismail berkata, ini kerana dengan kehadiran ramai pemain termasuk pemain import, bekas pemain Frenz United FC itu perlu menunjukkan komitmen tinggi sebelum layak membarisi skuad utama Tok Gajah.

"Kini bergantung kepada Kogileswaran dan Dinesh kerana mereka sudah lama tidak bersama dengan rakan sepasukan lain menjalani latihan.

"Dengan pengalaman mereka di bahagian pertahanan dan tengah ketika bersama Harimau Muda C... kita harap mereka boleh tampilkan aksi diharapkan.  

"Saya lega kerana kes dua pemain ini selesai dan tumpuan sekarang, mereka perlu bekerja keras dan buktikan bahawa kehadiran mereka berbaloi untuk pasukan," katanya di sini, hari ini.

Mengulas mengenai persiapan skuad kendaliannya menjelang saingan Liga Super pertengahan bulan depan, Razip berkata, aksi persahabatan terakhir menentang Melaka Sabtu ini dilihat sangat penting dalam memperkemaskan jentera pertahanan dan serangan.

"Memang saya harap perlawanan itu dapat meningkatkan mutu permainan dan persefahaman dalam kalangan pemain.

"Kita tidak ada banyak masa dan percaya sebaik saingan bermula (pertengahan) bulan depan, saingan pastinya lebih sengit.

"Berdasarkan situasi semasa, saya rasa Pahang tidak ada masalah untuk terus berada dalam kedudukan terbaik dalam carta Liga Super," katanya.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget