Sabtu, 18 Jun 2016

Wander Luiz sah milik Kelantan, Traore digugur

Bekas pemain Ratchaburi Mitr Phol FC dari Liga Thailand, Wander Luiz Bitencourt Junior sah menjadi milik pasukan Kelantan bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Ismail Md. Nor berkata, pemain tersebut sah menjadi milik Pamoga Qu Puteh The Red Warriors selepas menandatangani kontrak, semalam.

Menurutnya, keputusan untuk mengikat Wander Luis Junior dibuat selepas mendapat persetujuan daripada pengendali pasukan Velizar Emilov Popov.

“Pemain ini dipilih sendiri oleh Popov. Kafa memberikan kuasa penuh kepada beliau untuk menentukan pemain import mana yang dia mahukan bagi memperkuatkan pasukan.

“Saya harap kehadiran pemain ini dapat mengukuhkan lagi pasukan bagi mengharungi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Telah dilaporkan sebelum ini bahawa Kelantan dikhabarkan sedang mengintai pemain kelahiran Brazil, Wander Luiz Junior dalam usaha mereka mengukuhkan skuad bimbingan Popov itu bagi mengharungi baki saingan Liga M, musim ini.

Sepanjang beraksi dalam saingan Liga Thailand musim lalu, Wander Luiz meledakkan enam gol dalam 17 penampilan bersama pasukan berkenaan.

Wander Luiz Junior yang beraksi di bahagian tengah dibawa masuk bagi menggantikan bekas penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Dramane Traore selepas pemain tengah itu gagal mempamerkan aksi memberansangkan bersama Kelantan.

Musim ini Kelantan diperkuatkan dengan empat tenaga import iaitu Traore (Mali), Jonathan Lucca (Brazil), Blahze Ilijoski (Mecedonia) dan Jonathan McKain (Australia).

Sepanjang beraksi bersama Kelantan, Traore hanya meledak tiga gol, manakala Lucca tiada sebarang jaringan direkodkan.

Dalam pada itu, Ismail mengambil pendekatan mengunci mulut ketika diminta mengulas mengenai seorang lagi calon import dari Maldives, Akram Abdul Ghanee.

Katanya, setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat mengenai pemain berkenaan.

Akram sudahpun menjalani latihan bersama Kelantan, sejak minggu lalu.

Sumber : utusan

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget