Jumaat, 17 Jun 2016

Norfarhan kembali perkuat jentera serangan PQPTRW

 
Ketumpulan jentera penggempur skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors dijangka berakhir dengan kehadiran semula penyerangnya, Mohd Norfarhan Muhammad apabila saingan Liga Malaysia (Liga-M) bersambung bulan depan.

Pemain yang dikenali dengan panggilan Ben 10 itu mengesahkan, dia semakin pulih daripada kecederaan dan bersedia kembali memperkuatkan pasukannya bagi mengharungi baki saingan Liga Super dan kempen Piala Malaysia musim ini.

“Syukur Alhamdulillah, nak kata pulih 100 peratus rasanya belum lagi, tapi (mungkin) sekitar 70 hingga 80 peratus dengan kondisi sekarang saya akui memang proses pemulihan kecederaan ini berjalan dengan baik.

“Sasaran saya ditambah doktor pula telah beri lampu hijau, Insya-ALLAH perlawanan pertama selepas hari raya nanti, saya sudah boleh beraksi bersama Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Penjaring terbanyak Kelantan dalam saingan Liga Super musim lalu itu mengalami kecederaan tendon tumit ketika pasukannya bertemu T-Team dalam aksi peringkat kumpulan kempen Piala Malaysia di Kuala Terengganu, September tahun lalu.

Ekoran kecederaan serius itu, pemain kelahiran Wakaf Tapai, Terengganu itu terpaksa menjalani pembedahan sebanyak dua kali sekali gus berehat panjang sehingga pertengahan musim ini.

Menurut penyerang prolifik berusia 32 tahun itu, dia kini berusaha keras mengembalikan tahap kecergasan pada tahap tertinggi di bawah pengawasan jurulatih kecergasan, Sebastian Knapic.

Mengulas kesukarannya untuk merebut tempat setelah sudah lama tidak beraksi di samping kehadiran penyerang import, Mohd Norfarhan memberitahu, dia tidak ada masalah berdepan situasi itu kerana percaya dalam bola sepak sentiasa wujud persaingan sihat.

“Siapa yang kerja kuat dia akan memenangi hati jurulatih (Velizar Popov). Malah dia sendiri pun pernah beritahu, siapa yang bekerja untuk pasukan dan bukan individu, pemain itulah yang akan diturunkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, bekas penyerang Terengganu itu menyifatkan pasukannya mempunyai peluang seimbang untuk mara ke suku akhir kempen Piala Malaysia setelah diundi bersama juara bertahan, Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur dalam peringkat kumpulan.

“Selangor pernah tewaskan Kelantan dan kita juga pernah kalahkan mereka, begitu juga Pahang. Kuala Lumpur walaupun pasukan dari Liga Perdana tetapi kita tidak pandang mudah. Saya rasa peluang semua pasukan 50-50 dalam kumpulan ini,” katanya.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget