Jumaat, 17 Jun 2016

Kelab bola bukan penjara : TMJ

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas pengurusan kelab bola sepak PKNS FC dan Selangor susulan isu perpindahan melibatkan pemain dua pasukan tersebut.

Menyifatkan kelab bola sepak bukan penjara, beliau berkata setiap pemain sepatutnya bebas berpindah dan pergi ke mana sahaja yang mereka mahu, termasuk bermain bersama JDT.

"Pintu sentiasa terbuka untuk pemain kerana pemain sentiasa datang dan pergi dari kelab-kelab sepanjang masa. Yang menghairankan di Malaysia, kelab dan persatuan mengancam pemain mereka agar tidak meninggalkan kelab.

"Ini termasuk mengugut pemain dan keluarga mereka, memanipulasi penyokong serta mengenakan denda ke atas pemain. FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) menyebut dengan jelas bahawa pemain boleh pergi ke mana-mana sahaja yang mereka mahu selagi pemain (dapat) menebus kontrak mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu PKNS FC menjadi tumpuan ramai selepas kes pemain import mereka Gabriel Guerra dilaporkan hilang dari radar pasukan itu selepas bercuti kira-kira dua minggu.

Lebih menimbulkan spekulasi apabila Guerra dilihat muncul di Johor dengan memakai baju JDT untuk melawat rakannya, iaitu bekas bintang Argentina, Juan Sebastian Veron.

Imej tersebar itu sekali gus menimbulkan gosip pemain itu menerima 'gangguan luar'.

Merujuk kes Guerra Tunku Ismail berkata, beliau menyaksikan sendiri pemain tersebut datang untuk melawat Veron di Johor, serta mesej dihantar penolong jurulatih PKNS dan bagaimana pemain itu menerima layanan yang berbeza di kelabnya.

"Dan kelab tertanya-tanya pula mengapa pemain ingin meninggalkan mereka selepas pemain tersebut menerima layanan dengan cara sedemikian.

"Apabila Gabby Guerra menunjukkan mesej (daripada) pengurusan PKNS, saya terkejut kerana saya sebagai putera raja sendiri langsung tidak pernah menggunakan apa-apa perkataan yang kesat dan menyakitkan terhadap pemain saya," jelasnya.

Sementara itu, dalam kes pemain Selangor - Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham - pula, Tunku Ismail berkata pemain itu seolah-olah disekat daripada meninggalkan pasukan berkenaan dan menebus baki kontrak bagi menyertai pasukan lain.

Kontroversi antara pemain pertahanan Selangor itu dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kembali menjadi hangat apabila bapa pemain tersebut dikhabarkan meminta pihak pengurusan melepaskan anaknya apabila jendela perpindahan pemain dibuka pada 20 Jun ini.

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget