Khamis, 16 Jun 2016

MU tukar dua import perkukuh jentera serangan dan pertahanan

Melaka United akan melakukan pertukaran dua pemain import bagi memperkukuhkan jentera serangan dan pertahanannya bagi menghadapi saingan Piala Malaysia dan Liga Perdana.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), berkata penyerang dari Palestin, Yashir Pinto, 25, akan menggantikan pemain tengah, Balsa Bozovic dari Montenegro.

Sementara pemain kelahiran Romania, Alexandru Tudose, 29, akan mengambil alih tugas pertahanan tengah daripada Shin Jae-pil dari Korea Selatan.

"Kita terpaksa melepaskan mereka ini (Bozovic dan Shin) kerana kita memerlukan tenaga baru di bahagian serangan dan pertahanan bagi mengukuhkan pasukan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Melaka di Melaka, hari ini.

Melaka United mempunyai dua lagi pemain import iaitu penyerang prolifik yang merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini dengan 13 gol, Ilija Spasojevic dari Montenegro yang juga ketua pasukan, dan pemain tengah, Labinot Harbuzi dari Sweden.

Mengulas lanjut mengenai posisi pemain import baharu itu, Idris berharap Tudose dapat membentuk gandingan mantap di bahagian pertahanan dengan Khair Muhammad Jefri Jones yang baru-baru ini, berpeluang menyarung jersi kebangsaan dan menjaringkan gol pertamanya untuk negara.

"Yashir (Pinto) pula diharap dapat membantu menjana gerakan serangan bagi memudahkan Spaso (Spasojevic) dan Labi (Harbuzi) memecah benteng lawan.

"Saya yakin dengan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki mereka akan membolehkan kita bersaing dengan pasukan lebih handal terutama dalam saingan Piala Malaysia," katanya.

Pinto yang dilahirkan di Chile, memulakan kerjaya sebagai pemain remaja di kelab bola sepak ternama di negara itu, Colo-colo sebelum mewakili skuad remaja Chile.

Beliau yang berketurunan Palestin, kemudian memilih mewakili negara tersebut.

Tudose yang juga bekas kapten pasukan bawah 17 tahun Romania, pula pernah bermain dengan beberapa kelab ternama negara itu seperti Dinamo Bucuresti dan Steaua Bucuresti.

Sumber : bernama

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget