Rabu, 15 Jun 2016

Skuad Sabah uji Terengganu dan T-Team sebagai persiapan

Skuad Sabah akan menguji Terengganu dan T-Team sebagai persiapan menghadapi baki saingan liga yang akan bersambung 15 Julai depan.

Skuad kendalian Vjeran Simunic itu bakal berentap dengan skuad Penyu pada 21 Jun sebelum menguji The Titans pada 24 Jun dengan kedua-dua aksi itu akan berlangsung di Terengganu.

"Kami telah mengatur dua aksi persabahatan dengan pasukan dari Liga Super dan saya percaya perlawanan itu akan membantu kami meningkatkan lagi prestasi sebelum menyambung saingan liga, bulan depan.

"Sebahagian besar pemain kami kurang berpengalaman dan saya yakin dengan dua persahabatan berkualiti ini, mereka akan mempelajari sesuatu, sekali gus membantu meningkatkan corak permainan pasukan," kata Simunic ketika ditemui di Kota Kinabalu.

Sementara itu, jurulatih dari Croatia berusia 62 tahun itu, berkata pasukannya kembali menjalani latihan seperti biasa sejak dua hari lalu selepas berehat kira-kira seminggu.

"Kami lebih menfokuskan latihan dari segi kecergasan dan taktikal buat masa ini.

"Saya juga gembira kerana beberapa pemain yang sebelum ini mengalami kecederaan, kembali semula berlatih," katanya.

Sabah kini berada di tangga ke-9 liga selepas mengutip 11 mata hasil tiga kemenangan, dua seri dan tujuh kekalahan.

Selain tidak layak beraksi dalam Piala Malaysia musim ini, pasukan yang turut mendapat jolokan Sabah Rhinos itu juga kini bergelut untuk menjarakkan diri dari zon penyingkiran dengan Sime Darby FC yang kini di tangga kedua tercorot hanya ketinggalan empat mata di belakang Sabah.

Perlawanan Sabah seterusnya ialah bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) II di gelanggang lawan pada 15 Julai depan.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget