Rabu, 22 Jun 2016

Isu cukai pendapatan Apek tidak sepatutnya berlaku

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lebih tegas dengan perkara membabitkan tanggungjawab persatuan negeri serta kelab ke atas pemain mereka.

Tegas Khairy, isu kegagalan pembayaran cukai pendapatan melibatkan Khairul Fahmi Che Mat tidak sepatutnya berlaku memandangkan tanggungjawab majikan bukan sekadar membayar gaji semata-mata.

Sudah pasti hal-hal ini seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pembayaran cukai pendapatan melalui potongan cukai berjadual (PCB) perlu menjadi keutamaan bagi mengelakkan hal seperti ini berulang.

Khairy berkata, FAM sebagai badan induk perlu memainkan peranan dengan sewajarnya.

"Ini boleh mengundang masalah besar apabila mereka (pemain) mahu pergi ke kejohanan penting tapi tak dapat nak ke luar negara.

"Saya harap FAM dapat menyiasat perkara ini. Bukan setakat gaji, tapi pembayaran cukai pendapatan dan segala pembayaran lain juga perlu dipatuhi," katanya.

Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi, tidak dapat menyertai skuad kebangsaan dalam Siri Jelajah Oceania selepas dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Khairy turut menggesa orang ramai agar tidak mudah menilai prestasi sukan negara hanya kerana skuad bola sepak negara gagal mencapai prestasi sebenar di arena antarabangsa.

"Ramai atlet yg telah menunjukkan prestasi yang sangat baik. Pencapaian mereka perlu diberi publisiti agar dihargai orang ramai.

"Prestasi sukan negara atau kebangsaan tidak harus dinilai semata-mata dalam satu dua sukan sahaja seperti badminton dan bola sepak," tambahnya.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget