Rabu, 22 Jun 2016

Kecergasan dan ketahanan fizikal fokus utama T-Team

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, sudah merancang untuk menggunakan khidmat kesemua pemain di bawah kendaliannya bagi kempen Piala Malaysia dan baki saingan Liga Super musim ini, maka tidak hairan aspek kecergasan dan ketahanan fizikal menjadi fokus utama jurulatih berasal dari Indonesia itu.

Perlawanan persahabatan menentang UiTM FC malam kelmarin menjadi kayu pengukur bagi menguji tahap kecergasan pemain-pemain The Titans sejak kembali menyambung latihan di bulan puasa dan pengendali berusia 49 tahun itu kelihatan gembira dengan apa yang dilihatnya.

“Yang paling penting saya nak tengok bagaimana prestasi kesemua pemain-pemain saya dan saya tengok tiada masalah dari segi ketahanan fizikal mereka kerana pada separuh masa pertama para pemain mampu beraksi dalam intensiti tinggi.

“Hari ini (kelmarin) memang saya nak bagi kesempatan kepada semua pemain untuk bermain kerana kita pun sudah rancang mungkin pusingan kedua liga dan Piala Malaysia nanti akan ada pertukaran."

Dalam pada itu ketiadaan kelibat tiga pemain import T-Team, Abdoulaye Maiga, Makan Konate dan Patrick dos Santos Cruz yang masih belum pulang menyertai latihan pasukan itu disifatkan Rahmad sebagai salah faham.

“Sebelum ini mereka biasa keluar dan masuk ke negara ini tanpa sebarang masalah namun ada peraturan baru dari Jabatan Imegresen yang mengatakan mereka perlu ada kad vaksin jadi Maiga dan Konate sedang menguruskan hal itu, sekarang mereka sedang transit di Indonesia.

“Penerbangan dos Santos pula dibatalkan sebanyak dua kali oleh syarikat penerbangan tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu jadi dia terpaksa bermalam di lapangan terbang selama dua malam. InsyaAllah mereka semua akan ada selewatnya-lewatnya Rabu ini (hari ini)."

T-Team mengatasi UiTM FC 2-1 pada aksi persahabatan menerusi jaringan Mohd Norhakim Hassan pada minit ke-20 dan sepakan percuma cantik pemain gantian, Shamsul Kamal pada penghujung perlawanan manakala gol tunggal UiTM FC disumbangkan pemain import yang sedang diuji, John Landa pada minit ke-41.

Bergelut di tangga ke-10 Liga Perdana, ketua jurulatih UiTM, Raja Isa Raja Akram Shah berkata pasukannya sedang mengintai khidmat penyerang import dari Ivory Coast bagi memperkuatkan pasukan itu.

“Kami sedang menunggu kedatangan penyerang ini kerana dia beraksi di Thailand dan Piala AFC, kalau dia bagus kami akan buat keputusan.

“Elial da Cruz sudah mengundur diri kerana masalah keluarga, penjaring terbanyak kami Pavel Purishkin dan Kan Ji-Wook masih cedera, memang dia patah kaki jadi pusingan pertama kami betul-betul tiada rezeki dan kami serahkan kepada pasukan perubatan kami,” katanya.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget