Isnin, 4 April 2016

Saya lebih berminat untuk membeli perdana menteri

Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini menafikan pasukan bola sepak JDT membeli pengadil untuk memenangi perlawanan.

“Dengan semua wang yang saya miliki, adakah anda benar-benar berfikir yang saya akan membeli pengadil?

“Saya lebih berminat untuk membeli perdana menteri dan jadikan diri saya perdana menteri daripada membayar pengadil untuk memenangi perlawanan bola sepak.

“Tetapi apa boleh buat. Saya selalu berfikiran luas manakala mereka pula sentiasa berfikiran sempit,” katanya yang terkenal dengan sikap sinis itu.

Tunku Ismail berkata demikian ketika menyentuh makluman pasukan medianya mengenai komen negatif pada beliau dan JDT di media sosial.

TMJ tidak menyebut jelas sama ada beliau merujuk secara langsung kepada kepimpinan

Perdana Menteri Datuk Najib Razak atau hanya menyebutnya sebagai contoh semata-mata.

Najib kini sedang berdepan laporan negatif bertali arus media antarabangsa, dalam isu 1MDB dan kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya.

Kasihan anda bayar GST

Sementara itu, menjawab dakwaan beliau suka menunjuk-nunjuk hartanya, Tunku Ismail berkata ia menggambarkan fikiran sempit golongan itu.

Pada TMJ, mereka sepatutnya lebih risau pada masalah mereka sendiri yang terpaksa membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenal kerajaan.

“Perbezaan mentaliti antara saya dan individu-individu yang berfikiran sempit adalah, saya lebih risau dan kasihan anda kena bayar GST tapi anda lebih risau tentang TMJ menunjuk harta.

“Tahniah! Anda adalah rakyat yang kerajaan seluruh dunia paling suka. Kerana anda buta,” katanya lagi.

GST menjadi keluhan berpanjangan banyak pihak. Sabtu lalu sebuah himpunan membantah pengganti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) itu diadakan di ibu kota.

Sumber : malaysiakini

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget