Ahad, 3 April 2016

Piala FA : Perak idam pentas final

Pengendali Perak Syamsul Saad percaya peluang mereka untuk beraksi di final buat kali pertama sejak 2005 kini terbuka selepas mengatasi halangan suku akhir kelmarin.

Jelasnya, aksi di pentas final itu kini menjadi fokus utama mereka selepas prestasi terumbang ambing dalam kempen Liga Super musim ini.

“Kami ada peluang baik untuk pergi jauh dalam Piala FA, kerana itu kita merehatkan Nuri (Nurridzuan Abu Hassan dan Nasir (Basharuddin) untuk Liga Super, mungkin perlawanan Liga Super dengan Johor Darul Ta’zim selepas ini kami akan rehatkan dua tiga pemain.

“Kami akan cuba dan yakin boleh ke final. Itu matlamat kami,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan semalam.

Perak yang kini menduduki tangga kesembilan Liga Super mengalahkan Kuala Lumpur 1-0 pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk menempah pertemuan separuh akhir dengan PKNS FC menerusi agregat 2-0.

Ternyata percaturan Syamsul merehatkan Nurridzuan sebelum ini bagi memberi fokus kepada rawatan pemulihan berhasil apabila pemain sayap kiri itu meledak gol tunggal perlawanan.

Kali terakhir Bos Gaurus menjuarai Piala FA pada 2004 dengan mengalahkan Terengganu 3-0 selepas impian mereka untuk mempertahankan kejuaraan setahun selepas itu berkecai apabila tumpas 2-4 di tangan Selangor.

Syamsul berkata, walaupun hanya berdepan pasukan dari Liga Perdana PKNS FC di separuh akhir, itu tidak bermakna halangan mudah buat mereka.

“Saya percaya PKNS FC pasukan yang kuat, kita kena lebih fokus perlawanan separuh akhir nanti,” katanya.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget