Jumaat, 1 April 2016

Piala FA : Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itu situasi sebenar skuad Kuala Lumpur apabila bakal berdepan tugas getir menentang Perak di saingan suku akhir kedua kempen Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Bukan sahaja Kuala Lumpur terpaksa menterbalikkan keputusan tewas 0-1 pada aksi pertama tempoh hari, malah skuad kendalian Ismail Zakaria juga terpaksa turun tanpa khidmat tonggak import berpengalaman Mario Karlovic (gambar) digantung Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) petang semalam.

Nyata, berita malang itu mendatangkan kesukaran buat Ismail yang perlu membariskan pasukan terkuat bagi menewaskan Perak sekali gus mencuri tiket ke pusingan separuh akhir.

“Keputusan FAM di saat-saat akhir ini sikit mengganggu perancangan pasukan ketika kami sudah diperingkat terakhir persiapan untuk menghadapi Perak malam esok (malam ini).

“Apapun, saya menerima dengan hati terbuka dan percaya pemain lain mampu memikul tugas ditinggalkan Karlovic di bahagian tengah.

“Mungkin Hardee Shamsuri akan memikul tanggungjawab itu dan ia peluang untuk pemain muda membuktikan kebolehan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Menerusi keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM itu, pemain berasal dari Australia itu dikenakan hukuman penggantungan dua aksi kerana bersalah melanggar Artikel 50.1 (d) susulan berkelakuan ganas terhadap pemain Perlis ketika aksi Piala FA di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, 5 Mac lalu.

Malah bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu diberi amaran keras dan hukuman lebih berat jika mengulangi kesalahan sama selepas ini.

“Suatu kerugian kepada pasukan apabila pemain digantung daripada bermain atas sikap sendiri yang tidak sabar. Saya nasihatkan agar insiden sama tidak berulang.

“Mental pemain kena kuat dan jangan mudah tunduk kepada tekanan atau provokasi pihak lawan,” katanya.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget