Ahad, 3 April 2016

Fauzi Pilus kecewa persembahan di separuh masa pertama

Pengendali PDRM, Fauzi Pilus kecewa dengan persembahan anak buahnya pada separuh masa pertama yang menyaksikan gawangnya dibolosi empat kali dalam kekalahan 5-2 (agregat 6-2) di tangan Johor Darul Ta'zim.

Bagi Fauzi, dia berasakan kemenangan disahkan JDT seawal jaringan ketiga hasil daripada penyudah pakar sepakan penalti, Safiq Rahim.

"Saya tidak faham apa yang berlaku pada separuh masa pertama. Kami memberi terlalu banyak ruang kepada JDT di bahagian tengah.

"Bagi saya, keputusan pengadil untuk memutuskan sepakan penalti meranapkan harapan kami melangkah ke separuh akhir," kata Fauzi.

Biarpun tewas, PDRM boleh mengambil sedikit positif tatkala menjaringkan dua gol di Stadium Larkin. Kedua-dua peluang yang dimanfaatkan Andrezinho dan Ahmad Nizam Rosdi dihasilkan pemain paling rajin iaitu Ali Ashfaq.

"Pasukan kami dibarisi beberapa pemain yang berpotensi tinggi seperti Ali, Andre dan Safuwan tetapi kebangkitan kita terlalu lewat. Tidak dinafikan empat gol pada separuh masa pertama menjatuhkan semangat kita," tegas Fauzi.

Kini, Fauzi boleh beri tumpuan sepenuhnya kepada saingan Liga Super, apatah lagi berdepan pasukan 'bermasalah', Pahang dalam perlawanan liga seterusnya.

"Kami akan meneruskan perjuangan kerana kami telah nampak potensi beberapa pemain muda baru-baru ini. Pada masa yang sama, kami akan jumpa Pahang yang tampak bermasalah sedikit namun itu tidak memberi sebarang jaminan buat pasukan kita pada hari perlawanan," ujarnya.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget