Rabu, 30 Mac 2016

Yang benar disokong, yang salah disanggah

Berbekal prinsip "yang benar disokong, yang salah disanggah" penyokong bola sepak Kedah (Ultras Kedah) menolak bertemu dengan Presiden Persatuan Bola Sepak kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah.

Jurucakap kelab penyokong itu berkata, pihaknya menerima undangan wakil Ahmad Bashah selaku presiden baru untuk mengadakan pertemuan tersebut bersama kelab penyokong lain.

Bagaimanapun katanya mereka menolak pertemuan itu buat masa ini kerana tidak menyenangi cara pelantikan Ahmad menggantikan Datuk Seri Mukriz Mahathir selaku menteri besar Kedah pada 4 Februari lalu.

"Mahu atau tidak, kami terpaksa menerima (pelantikan) walaupun hakikatnya cara itu (penyingkiran Mukhriz) jelas tidak disenangi rakyat Kedah.

"Kami juga menghargai usaha (pertemuan) itu, namun kami menolak sebarang perjumpaan buat masa ini," katanya.

Ahmad Bashah dilantik sebagai menteri besar Kedah menggantikan Mukhriz yang didakwa hilang kepercayaan daripada majoriti wakil rakyat negeri itu.

Susulan itu, pentadbiran KFA turut berubah kerana secara tradisinya jawatan presiden dipegang oleh menteri besar, manakala Ahmad Bashah dilantik secara rasmi sebagai presiden KFA, 24 Mac lalu.

Tentang logo baru


Ultras Kedah menegaskan, KFA kini telah memiliki presiden baru dengan cara tidak direstui oleh majoriti rakyat negeri berkenaan. Malah, Ultras Kedah turut mengakui lebih menyokong kepimpinan Mukhriz dan bekas menteri besar terdahulu iaitu Allahyarham Tan Sri Azizan Razak.

"Tetapi ketika bola sepak Kedah terbiar, kami bangkit untuk protes. Era Mukhriz hadir pula untuk membawa sinar baru, kami mulai sokong.

"Ketika Mukhriz (gambar) selaku presiden, kami juga bebas menyuarakan pandangan serta keras menolak apa yang tidak betul dalam pengurusan beliau.


"Antaranya kami menentang kewujudan logo baharu persatuan yang mengambil mudah dengan hanya menggunakan teknik carian 'google copy and paste'," kata jurucakap tersebut.

Sementara itu, mereka turut memberi amaran akan melakukan bantahan sekiranya berlaku perubahan barisan pemain tempatan dan import Kedah seperti disebar khabar angin ketika ini.

"Jika itu terjadi pastinya akan menambah masalah kepada pasukan dan mendorong prestasi merudum pasukan.

"Jika berlaku, kami yakin bukan kami saja malah seluruh penyokong Kedah akan terus bangkit menyuarakan kemarahan membara dan memberikan tekanan hebat buat presiden KFA," jelasnya.

Selain itu, Ultras Kedah turut menuntut Ahmad Bashah dan kepimpinan KFA supaya mengekalkan struktur barisan pentadbiran dan pengurusan dari peringkat akar umbi seperti peringkat belia, Skuad Presiden serta skuad utama.

"Tuntutan lain ialah terus menjaga kebajikan pemain, mencari penaja terbaik dan mencegah anasir tangan ghaib dalam pasukan dan mengembalikan logo lama KFA untuk kempen musim baru 2017," tambah kenyataan tersebut.

Sumber : malaysiakini

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget