Dalam tempoh lawatan selama dua minggu itu, Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu mengadakan pertemuan dengan Presiden Paris Saint Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi; Josep Maria Bartomeu (Barcelona); Chan Lay Hoon (Valencia) dan Florentino Perez (Real Madrid). Tunku Ismail turut mendapat kejutan apabila dijemput oleh pemilik kelab Atletico Madrid, Miguel Angel Gil Marin untuk makan malam bersama.
Pertemuan berkenaan berjaya memberi ruang berharga buat kelab JDT untuk terus menjalin hubungan kerjasama dengan kelab ternama antarabangsa demi pembangunan bola sepak negeri Johor.
"Saya percaya hubungan kerjasama yang dibina akan memberi manfaat amat besar kepada kelab pada masa hadapan dalam memastikan kemajuan bola sepak negeri Johor," kata Tunku Ismail menerusi entri terbaharu akaun Facebook JDT, Johor Southern Tigers.
"Sesungguhnya lawatan kerja yang sangat eksklusif ini tidak mungkin mudah diperoleh oleh mana-mana pihak apatah lagi fasiliti dan kemudahan dilawati adalah sesuatu yang sukar untuk dikongsikan oleh kelab besar berkenaan kepada pihak luar.
"Ia juga bukan sekadar lawatan biasa seperti pakej pelancongan. Ia amat luar biasa memandangkan fasiliti yang dilawati juga amat dikawal rapi sehinggakan ibu bapa pun tidak dibenarkan memasuki sesetengah kawasan kami lawati."
Tunku Ismail juga berkata, lawatan kerjanya itu adalah permulaan dalam perjalanan JDT menuju kegemilangan selepas mampu mengikat kerjasama dengan Borussia Dormund dan memenangi Piala AFC, sebelum ini.
"Ini hanya permulaan dalam perjalanan kita. Saya pernah berjanji kepada anda semua pada tahun 2013 yang saya akan membawa kelab ini ke tahap lebih tinggi.
"Kerjasama dengan kelab gergasi Jerman, Borrusia Dortmund dan memenangi piala AFC adalah pencapaian yang hebat. Tetapi ini baru satu permulaan.
"Sekarang saksikanlah dan nikmatilah persembahan yang saya akan sampaikan kepada anda," kata Tunku Ismail.
Sumber : bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan