Pengesahan itu diumumkan Pengurus Pahang Datuk Che Nasir Salleh iaitu Akbar yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengisi kekosongan yang ditinggalkan Fahrizal.
Katanya, pelantikan Akbar itu dianggap pengganti paling tepat berdasarkan pengalaman luas dalam sukan bola sepak di Pahang dan selayaknya memegang jawatan itu.
"Bagaimanapun, prestasi beliau (Akbar) akan dinilai oleh Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah selaku Presiden PBNP bagi mengelakkan `pisang berbuah dua kali'," katanya di sini semalam.
Selain memegang jawatan selaku Naib Presiden PBNP, Akbar pernah memegang jawatan selaku pengurus skuad Piala Presiden, Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang dan terbabit secara langsung dalam skuad Shahzan Muda untuk melahirkan pemain berkaliber sejak 1992.
Justeru, Che Nasir berkata, pengumuman itu menafikan dirinya yang sebelum ini dikatakan mengambil alih jawatan CEO kerana fokus utamanya selaku pengurus skuad Liga Super Pahang.
Katanya, ini kerana beliau tidak terbabit dalam soal berkaitan pentadbiran dan pengurusan bukan sahaja PBNP, malah Pahang FC.
"Oleh itu, saya meminta meminta peminat tidak mengecam dan mengaitkan saya dalam soal perletakkan jawatan Fahrizal kerana tidak pernah berhasrat untuk memegang jawatan CEO.
"Saya tahu ada yang ada mengkritik tetapi apa yang boleh diperjelaskan bahawa saya tidak terbabit dalam hal pengurusan serta pentadbiran," katanya.
Mengulas kedudukan Ahmad Shaharuddin Rosdi, Che Nasir berkata, tugas selaku ketua jurulatih skuad itu masih lagi berjalan seperti biasa memandangkan Pahang akan bertemu FELDA United FC Sabtu ini.
Katanya, sesi latihan tetap diadakan yang dikendalikan Shaharuddin bersama Azaruddin Aziz selaku penolong jurulatih selagi pengumuman tiada kata putus daripada Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
"Saya harap semua pemain kekal fokus terhadap pasukan kerana perjalanan masih lagi jauh dan prestasi terbaik dapat dipersembahkan untuk kembali bangkit dan mencapai kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini.
"Kegagalan layak ke suku akhir Piala FA perlu dilupakan dan fokus utama ketika ini adalah meningkatkan kualiti permainan dalam saingan Liga Super terutama bertemu FELDA United FC Sabtu ini.
"Jika semua pemain berjaya memanfaatkan segala peluang dan beraksi dengan lebih baik, saya percaya Pahang akan berada pada kedudukan terbaik daripada kekal berada di dasar liga ketika ini," katanya.
Sumber : bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan