Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe terpaksa melupakan aksi dua tonggak penting dalam saingan Liga Super menentang Sarawak iaitu Amirul Hisham dan Rizal Ghazali kerana mengalami kederaan.
Menurut Cheng Hoe, Amirul terpaksa direhatkan selama dua minggu manakala nasib Rizal pula akan diketahui beberapa hari lagi.
"Inilah harga yang mahal terpaksa kami bayar bagi meraih kemenangan mengatasi Kelantan Jumaat lalu di Alor Setar, tetapi kemenangan ini adalah manis dan menjamin kita akan meneruskan perjuangan dalam suku akhir.
“Amirul dan Rizal adalah dua pemain kemungkinan besar tidak akan beraksi ketika bertemu Sarawak di Kuching, minggu ini. Saya harap Arif Farhan yang beraksi sebagai pertahanan kanan akan pulih daripada kecederaan untuk membantu kesebelasan utama.
“Walaupun dua tonggak ini cedera, namun saya tetap bersyukur kerana pemain berada dalam keadaan bersedia untuk diturunkan," jelasnya.
Cheng Hoe memberitahu, kecederaan adalah lumrah dalam permainan bola sepak dan sebab itulah pemain simpanan yang mampu mengambil alih tugas tonggak utama diperlukan.
"Kelemahan ketara yang masih menghantui pasukan kita ketika ini ialah penyudah tepat dan jika ini berjaya diatasi oleh penyerang, saya pasti kita mampu mencatat kemenangan.
“Peluang tetap akan muncul pada setiap perlawanan, tetapi bagaimana kita menggunakan peluang itu sebaiknya adalah penentu kemenangan.
“Kita akan terus memperbaiki kelemahan yang ada dalam sesi latihan sebelum berangkat ke Sarawak," katanya.
Sumber : mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan