Sabtu, 27 Februari 2016

UiTM kekal di persada Liga Perdana

Pasukan UiTM FC masih mengekalkan kedudukan di persada Liga Perdana, walaupun terikat tanpa jaringan berdepan Kuantan FA di Stadium UiTM, Shah Alam malam tadi.

UiTM FC yang berkongsi tujuh mata dengan Melaka United dan Kuala Lumpur, menghuni tangga teratas liga dengan kelebihan jumlah jaringan.

Sementara itu, Melaka United bangkit daripada ketinggalan untuk menang tipis 2-1 ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, untuk melonjak ke tangga kedua liga.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-17, sebelum skuad Hang Tuah bangkit menerusi jaringan Balsa Bozovic pada minit ke-30 dan Wan Amirul Afiq (minit ke-87).

Aksi itu turut dicemari dengan layangan kad merah apabila pengadil, Zulkarnain Zakaria mengarahkan pemain Melaka United, Mohd Alif Samsudin keluar padang selepas beliau mengutip kad kuning kedua pada minit ke-57.

Pasukan Kuala Lumpur pula gagal merampas kedudukan teratas liga apabila terikat 1-1 menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan terpaksa akur dengan kedudukan di tangga ketiga.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi Mohd Norhafizzuan, sebelum Zhafri Yahya menyamakan kedudukan pada minit ke-86 untuk memberi satu mata kepada Kuala Lumpur.

Satu lagi kelab dari Lembah Klang, PKNS FC berjaya mencatat kemenangan pertama musim ini selepas mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Dua gol skuad 'The Red Ants' itu dijaringkan penyerang import dari Argentina, Juan Manuel Cobelli pada minit ke-64 dan pemain import dari Palestin, Matias Nicolas Jadue Gonzalez pada minit ke-73.

Sime Darby FC pula gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 menentang Perlis di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Penyerang import dari Liberia, Edward Junior Wilson meletakkan pasukan Singa Utara di hadapan melalui jaringan pada minit ke-21, sebelum Sime Darby FC menyamakan kedudukan menerusi Rafiq Shah Zaim pada minit ke-43.

Sumber : bernama

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget