Rabu, 17 Februari 2016

Terengganu FC II perlu bangkit di saingan Piala FA

Terengganu FC II akan cuba melupakan episod kekalahan dalam saingan Liga Super supaya mereka bangkit menentang Pahang dalam perlawanan Piala FA di Kuantan Jumaat ini.

Ketua jurulatih Terengganu FC II Rachmat Dermawan berkata episod kekalahan Terengganu FC II di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super malam tadi menjadi pengajaran kepada pasukan penyu itu.

"Saya harap pemain-pemain Terengganu FC II melupakan kekalahan itu, malah mereka perlu bangkit dengan permainan yang lebih bagus dalam piala kalah mati itu nanti," kata bekas jurulatih kebangsaan Indonesia itu kepada pemberita.

Rachmat berkata para pemain Terengganu FC II perlu mengubah sikap dan bermain dengan lebih agresif mencari kemenangan agar pasukan Terengganu FC II terus dapat bersaing dalam kejohanan tersebut.

Katanya ini merupakan kali kedua pasukan Terengganu FC II bertemu Pahang dalam tempoh dua minggu, kali pertama mereka bertemu dalam kempen Liga Super yang berkesudahan seri 2-2 di Kuantan.

Menyentuh tentang pertemuan Terengganu FC II dengan JDT di sini malam tadi, Rachmat berkata beliau kurang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dalam perlawanan tersebut.

Katanya ada sesetengah pemain terutamanya pemain baharu kelihatan masih tercari-cari rentak permainan.

Beliau berkata satu lagi kelemahan Terengganu FC II yang perlu diatasi segera ialah kegagalan pemain menghasilkan gol terutamanya ketika mengambil tendangan penalti.

"Mungkin kita sudah ada gambaran daripada perlawanan tersebut untuk memperbetulkan keadaan supaya Terengganu FC II bangkit dalam perlawanan-perlawanan seterusnya nanti," katanya.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi, juara bertahan Liga Super, JDT mengalahkan Terengganu FC II 2-0.

Sumber : bernama

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget