Spasojevic, 28, atau lebih dikenali sebagai Spaso dan 24 pemain lain dalam skuad Melaka United diperkenalkan sempena pelancaran jersi baharu dan penajaan untuk pasukan itu yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, di sini hari ini.
Melaka United yang akan beraksi dalam Liga Perdana yang bermula 12 Feb ini turut membariskan tiga pemain import lain.
Mereka adalah bekas pemain tengah pasukan bawah 21 tahun Sweden, Labinot Harbuzi, 29, seorang lagi pemain tengah dari Montenegro, Balsa Bozovic, 28, yang juga bekas pemain kelab Persela Lamongan yang beraksi dalam Liga Super Indonesia serta pertahanan dari Korea Selatan, Shin Jae Pil, 33.
Sementara itu, Idris yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United mengingatkan pemain dan pengurusan pasukan itu untuk mengutamakan integriti bagi memastikan mereka mampu menyerlah musim ini.
"Pengurusan pasukan juga diminta berhati-hati dengan perkembangan pembangunan pemain bagi mengelakkan sebarang kepincangan nilai integriti," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Menurut Idris bersandarkan kepada beberapa perlawanan persahabatan, Melaka United dilihat telah bersedia menghadapi persaingan Liga Perdana.
Terdahulu pada majlis berkenaan, selain pelancaran jersi, Melaka United turut menerima tajaan sebanyak RM6 juta daripada beberapa penaja utama antaranya Edra Global Energy Bhd (Edra) yang menaja RM3 juta, Hatten Group (RM1 juta) dan Mamee Double-Decker (M) Sdn Bhd (Mamee) (RM500,000).
Melaka United dijadual memulakan kempen Liga Perdana menentang Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 12 Feb.
Sumber : stadiumastro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan