Khamis, 4 Februari 2016

Saya tetap puas hati walaupun gagal

Bukan kemenangan semata-mata sebaliknya memberikan pendedahan terbaik buat pemain khususnya pemain-pemain muda menerusi aksi jelajah pra-musim di Bangkok yang berakhir pada Isnin lalu.

Itu reaksi pengendali Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi selepas menamatkan kempen pra-musim di negara jiran itu selama seminggu yang menyaksikan satu keputusan seri dan dua kekalahan berdepan tiga buah kelab iaitu kelab dari Liga Super China, Hangzhou Greentown (1-1) Army United (0-2) dan Bangkok United (1-4).

Menurutnya, biarpun gagal meraih kemenangan dalam jelajah tersebut, beliau tetap berpuas hati dengan komitmen anak-anak buahnya dalam siri persahabatan tersebut.

“Ia pendedahan sangat baik buat pemain terutamanya buat pemain muda dan baru dalam pasukan ini.

“Memang tiada kemenangan tetapi harus diingatkan kerana standard dan taraf  kelab yang ditemui berbeza dan lebih baik,”katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya lagi, beliau turut melihat peningkatan para pemain terutamanya aspek kecergasan dan persefahaman antara mereka menerusi siri jelajah tersebut.

“Mereka (pemain) semakin menunjukkan keserasian dan aspek ini yang saya mahu semua pemain tingkatkan sebelum tugas pertama menanti pada 13 Februari ini.

“Dan saya juga boleh menilai lagi prestasi dan kemampuan mereka sebelum senarai kesebelasan utama dapat ditetapkan,”tegasnya lagi.

Dalam pada itu, latihan pasukan itu akan bermula hari ini dan ditanya jika ada lagi aksi persahabatan sebelum aksi pembuka tirai Liga Super 2016 berdepan T-Team pada 13 Februari ini di Stadium Darul Makmur, Shaharuddin memberitahu kemungkinan perlawanan persahabatan akan diadakan pada Sabtu ini.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget