Media Prima akan memulakan liputan menyeluruh mereka pada 13 Februari dengan dua perlawanan SECARA LANGSUNG pada 9 malam. Perlawanan sumbangsih antara juara Liga Super, Johor Darul Takzim dan juara Piala Malaysia Selangor akan disiarkan di TV3, manakala perlawanan Liga Super, Perak menentang Kelantan boleh disaksikan di TV9.
Peminat bola sepak boleh menonton sehingga tiga perlawanan seminggu termasuk liputan penuh musim Liga Malaysia di platform televisyen dan simulcast online, Tonton. Perjanjian ini termasuk liputan siaran langsung atau tertunda bagi perlawanan Liga Super Malaysia (dua perlawanan setiap pusingan) dan Piala FA Superbest Power (satu perlawanan setiap pusingan) mulai Februari hingga Mei 2016. Media Prima akan menyiarkan satu perlawanan setiap pusingan Piala Malaysia TM pada sepak mula Julai 2016.
Panelis pakar bola sepak Media Prima terkenal antaranya Lim Chan Yew, Nizaruddin Yusof, Akmal Rizal Mohd Rakhlee, Ahmad Shahrol Azhar dan juga bekas pemain bola sepak terkemuka lain dipelawa untuk menyumbang analisis perlawanan dan celoteh yang penuh informasi. Penyampai lain juga tidak kurang hebatnya dengan nama-nama besar seperti Abu Bakar Atan, Tabah Sazwan Othman dan Sherkawi Jirim. Selain itu, TV9 juga akan melancarkan rancangan rangkuman bola sepak mingguannya, ‘Scoreboard Extra Time’, yang akan manampilkan kesemua aksi terbaik buat tatapan penyokong.
Hak penyiaran media stesen televisyen percuma antara Football Malaysia LLP dan Media Prima adalah hasil rundingan MP & Silva, Penasihat Global Persatuan Bola Sepak Malaysia bagi hak media dan komersil.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin berkata; “Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada Media Prima atas sokongan mereka dan kami gembira dengan perjanjian ini yang membolehkan lebih ramai peminat untuk menyaksikan bola sepak Malaysia secara langsung.”
Pengarah Urusan Asia Pasifik MP & Silva, Beatrice Lee, berkata: “Kami begitu teruja untuk bekerjasama dengan Media Prima, dan kami yakin dengan kualiti liputan mereka yang akan menyemarakkan lagi sokongan peminat terhadap pasukan bola sepak yang diminati mereka. Matlamat kami adalah untuk meluaskan tarikan kejohanan bola sepak utama Malaysia dan bersama-sama FMLLP dan FAM, kami berazam untuk mencapai jumlah tontonan penyokong yang lebih ramai bersama Media Prima.”
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Television Media Prima Berhad Datuk Kamal Khalid berkata: “Kejohanan liga dan piala bola sepak Malaysia memiliki sejarah yang unik dan kekal sebagai salah satu sukan yang paling ditonton di negara ini.
“Kami sentiasa bersemangat untuk memberikan isi kandungan berkualiti yang didahagakan peminat bola sepak Malaysia dan kami begitu teruja dengan kesempatan untuk menyiarkan liputan bola sepak Malaysia yang terbaik buat penonton.”
Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam berkata: “Kami gembira dengan kehadiran Media Prima sebagai rakan penyiar stesen televisyen percuma kami. Kami sudah menilai semua kertas cadangan dengan kriteria apa yang memberikan manfaat kepada jumlah peminat bola sepak yang paling ramai dan Media Prima memiliki pendekatan agresif terhadap liputan dan promosi bola sepak Malaysia. Kami kini tidak sabar untuk melalui perjalanan musim yang hebat bersama mereka.”
Sumber : football malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan