Jumaat, 26 Februari 2016

Hatrik pertama dalam saingan AFC

Biarpun baru pulih daripada kecederaan namun, kelibat Safiq Rahim yang menjadi pencetus kemenangan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) 8-1 menewaskan Ayeyawady United, kelmarin wajar dinobatkan pemain terbaik pada perlawanan itu.

Malah, kapten Johor DT itu muncul pemain pertama dalam saingan Piala AFC melakar hatrik, sekali gus menyerlahkan lagi status selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) yang diraih ketika final piala itu musim lalu.

Apa pun Safiq menyifatkan keupayaan mencipta hatrik hasil daripada sokongan rakan sepasukan yang mempamerkan aksi terbaik sepanjang 90 minit tatkala mahu memastikan kemenangan pertama di laman sendiri.

“Bukan mudah untuk mencipta hatrik dan saya amat bangga dengan kerjasama rakan sepasukan yang membantu saya mencipta kejayaan itu kerana tanpa mereka dan semangat juang tinggi kemungkinan kami tidak mampu menang besar.

“Malah, saya bersyukur selepas berjaya menghasilkan hatrik dan ia memberi perangsang untuk beraksi lebih konsisten malah memperbaiki kelemahan serta meningkatkan mutu permainan.

“Kami berjaya mengambil kesempatan untuk meraih tiga mata ketika beraksi di laman sendiri biarpun pada awalnya kelab dari Myanmar itu cuba memberi tentangan namun, rakan sepasukan beraksi dengan baik dan berjaya menghalang penguasaan pasukan itu,” katanya.

Bagi Safiq persembahan yang dipamerkan pada aksi itu perlu dipertingkatkan lagi dan tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan pertama yang diraih kerana akan berdepan tugas berat apabila menentang Bengaluru FC di Stadium Sree Kanteerava, Bangalore, India, 9 Mac ini.

Malah katanya, kombinasi dan kerjasama sepasukan yang diterapkan ketua jurulatih Mario Gomez memberi impak positif dan ia harus dikekalkan bukan saja pada saingan Piala AFC malah dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

“Semua pemain yang beraksi tidak mempamerkan aksi individu sebaliknya semangat sepasukan dan kekeluargaan kerana ia kunci utama bagi memburu kemenangan memandangkan musim lalu pasukan lawan sudah mengetahui corak permainan Johor DT dan pada musim ini kami tampil berbeza.

“Walaupun tidak beraksi pada dua perlawanan lalu iaitu aksi Liga Super dan Piala FA akibat tidak cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan namun, kepercayaan jurulatih (Gomez) yang menyenaraikan dalam kesebelasan utama dibalas dengan kejayaan,” katanya.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget