Khamis, 25 Februari 2016

Jadual padat punca pemain keletihan

Pengendali FELDA United Irfan Bakti Abu Salim mengakui kepadatan jadual perlawanan Liga Malaysia apabila terpaksa beraksi tiga aksi berturut-turut dalam saingan Liga Super dan Piala FA menyebabkan beberapa pemainnya tercedera.

Kemuncak kepada masalah itu dapat dilihat ketika aksi menentang PB Ipoh dalam kempen Piala FA apabila anak didiknya dipaksa bermandi peluh sebelum mara dengan kemenangan 2-0 ke atas pasukan dari liga divisyen tiga itu.

“Memang selepas berakhirnya Piala FA hujung minggu lalu sedikit melegakan kerana rata-rata pemain mengalami keletihan susulan jadual padat.

“Mujur ada saingan Piala AFC kami dapat rehat sekejap untuk beberapa hari sebelum bersambung Sabtu ini. Waktu ini saya gunakan sebaik mungkin bagi mengembalikan semula tahap kecergasan pemain-pemain.

“Malah, saya juga berharap tonggak yang cedera sebelum ini dapat pulih dan kembali tersenarai dalam kesebelasan utama memandangkan misi kami selepas ini untuk mengekalkan kedudukan di tangga teratas liga,” katanya.

Selepas mengharungi dua aksi Liga Super, The Fighters kini mendahului carta liga dengan mengutip enam mata maksimum daripada dua kemenangan diraih skuad itu.

Bermula dengan kemenangan 2-0 ke atas Kedah pada aksi pertama, skuad kendalian Irfan Bakti meneruskan momentum positif itu dengan menjinakkan Sarawak 2-1 sebelum mengekalkan rekod bersih musim ini dalam aksi Piala FA dengan menjadikan PB Ipoh mangsa berikutnya.

“Kami sememangnya mengidam tiga mata penuh untuk aksi liga seterusnya dan mahu mengekalkan rekod kemenangan. Kami akan menggunakan kelebihan beraksi di stadium sendiri bagi membenam pelawat.

“Saya juga percaya pemain akan kembali cergas sebelum perlawanan itu dan setakat ini tiada lagi pemain yang tercedera,” katanya.

Berdasarkan jadual liga, pendahulu Liga Super itu akan membuat perhitungan dengan Terengganu FC II (TFC II) yang kini menduduki tangga ke-10 selepas sekadar memungut satu mata setakat ini.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget