Rabu, 10 Februari 2016

Guna pengalaman di Fulham dan QPR galas tugas kapten

Pemain import pertahanan Tok Gajah, Zesh Rehman mahu menggunakan pengalaman sedia ada sebaik mungkin selepas dipilih menggalas tugas selaku kapten pasukan untuk musim ini.

Mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas rakan sepasukan, Mohd Razman Roslan, pemain berdarah Pakistan itu menyifatkan  kepercayaan yang diberikan oleh pengendali pasukan, Ahmad Shaharuddin Rosdi terhadap dirinya satu penghormatan besar terhadap kemampuannya.

Bekas pemain Fulham dan Queen Park Rangers (QPR) itu nyata terharu dan gembira dengan kepercayaan diberikan walaupun akur ia bukan tugas mudah buat dirinya apatah lagi barisan pasukan itu dibarisi sebahagian pemain muda.

Menurutnya, pengalaman selaku kapten bersama kelab Inggeris, Bradford City selama dua tahun pada 2009-2010 dan juga pasukan kebangsaan Pakistan memberi ilham terbaik untuk membantu memperkasakan pasukan itu.

“Saya berharap  pengalaman yang dimiliki dapat digunakan untuk mengetuai Pahang pada musim ini. Musim ini pastinya akan terus memberikan cabaran sengit buat kami tetapi saya tidak gentar untuk mengharungi saingan liga.

“Saya sedar bahawa perubahan dalam pasukan musim ini akan berbeza dari segi cabaran kerana kami mempunyai skuad yang sangat muda dengan kehadiran tiga pemain import dan jurulatih baharu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Menurut pemain berusia 33 tahun itu lagi, perubahan yang dilakukan pada musim ini adalah peralihan buat Pahang dan ia menuntut kesabaran daripada penyokong untuk memberikan mereka masa untuk menyesuaikan diri.

“Malah saya berharap dapat melihat pasukan ini meraih keputusan sebaik mungkin selain pemain muda dapat meningkatkan prestasi serta berkembang selain berharap dapat menamatkan karier di sini,”katanya lagi.

Sebelum ini, semalam Ahmad Shaharuddin menegsahkan pemilihan pemain yang menyarung jersi pasukan sejak musim 2014 itu dipilih selaku kapten pasukan sekaligus menamatkan teka-teki peminat selama ini.

Selain Zesh, nama pemain pertahanan kelahiran Felda Adila, Kluang, Johor, Mohd Saiful Nizam Miswan disebut-sebut untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Razman yang berhijrah ke pasukan Selangor musim ini.

Dalam pada itu, Zesh meminta rakan sepasukan kekal fokus dan tidak mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri apabila memulakan tugas sulung berdepan T-Team untuk aksi pembuka tirai Liga Super 2016 di Stadium Darul Makmur, di sini, Sabtu ini.

Menurutnya, lawan bukan satu pasukan yang boleh dipandang mudah dan semangat mereka yang berjaya beraksi di Liga Super musim ini perlu ditangani oleh Pahang dengan baik dan perlu berwaspada apabila berdepan lawan.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget