Isnin, 11 Januari 2016

Tahun ketiga bersama Selangor, Andik sasar 2 piala.

Penglibatan Andik Vermansyah dalam skuad Selangor sudah memasuki tahun ketiga, sekaligus membuatkan pemain lincah dari Indonesia itu semakin serasi bersama Red Giants.

Andik meramalkan khidmatnya untuk Selangor akan kekal lama selepas mengakui selesa berada di Malaysia, apatah lagi bersama Selangor dalam misi mengikut jejak kejayaan dua pemain senegaranya Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy.

"Ini tahun ketiga saya bersama Selangor, sudah tentu tugas saya semakin berat. Malah, prestasi pemain luar harus lebih daripada pemain tempatan.

"Saya mensasarkan 2 piala pada tahun ini, menyamai rekod Bambang dan Elie dengan menjulang 3 piala. Saya mahu menjuarai liga bersama Selangor. Saya perlu bekerja keras lagi dan lebih konsentrasi pada setiap perlawanan, selain memberi kerjasama yang baik dalam pasukan.

"Saya tidak tahu sampai bila saya berada di Selangor, yang penting saya kena pamerkan prestasi yang terbaik. Saya lagi senang berada di Malaysia, lebih-lebih lagi bermain di Selangor.

"Kelab-kelab di Indonesia sudah lama meminati saya, namun tiada apa-apa, FIFA belum merestui pasukan di sana. Tetapi saya lebih senang di sini," kata pemain berusia 25 tahun itu ketika ditemubual di Gimnasium Majlis Sukan Negeri Selangor, Shah Alam.

Sementara itu, Andik menjelaskan kehadiran jurulatih Zainal Abidin Hassan yang senang didekati sedikit sebanyak memudahkan tugas beliau sebagai pemain, termasuk dalam aspek komunikasi.

"Saya tahu jurulatih Zainal adalah legenda Selangor dan seorang jurulatih yang membawa Pahang ke tahap yang cemerlang. Sedikit mudah bagi saya kerana cara komunikasi lebih mudah dengan menggunakan bahasa Melayu. Masa latihan pun kami lebih senorok dan boleh bergurau-gurau.

"Persaingan untuk bermain di kesebelasan utama tetap ada. Namun, kita kena selalu tunjukkan kerja keras kita kepada jurulatih. Jangan malas-malas. Semua pemain daripada penjaga gol hingga ke depan, semuanya bagus. cuma terpulang kepada jurulatih untuk memilih pemain," tambah Andik.

Andik menjadi watak penting Red Giants musim lalu selepas membantu mereka muncul juara Piala Malaysia, selain menamatkan kempen Liga Super selaku naib juara, sekali gus layak beraksi dalam Piala AFC, musim ini.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget