Selasa, 26 Januari 2016

Penaja utama undur diri jika Mukhriz 'diundurkan' : KFA

Selepas kira-kira tiga tahun yang malap, prestasi pasukan Kedah kembali menyerlah di bawah pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Bagaimanapun bagi penyokong pasukan Kedah, persiapan pasukan menghadapi musim 2016 mungkin sedikit terjejas selepas Mukhriz diberitakan akan 'diundurkan' daripada jawatan sebagai menteri besar.

Presiden Kelab Penyokong Hijau Kuning Nor Hasmadi Hamzah berkata Mukhriz sebagai Presiden KFA berjaya mencetuskan energi buat pasukan Kedah termasuk pemulihan sokongan di kalangan penyokong.

"Selepas kemerosotan Kedah sebelum ini, Mukhriz berjaya mendapatkan beberapa penaja hebat dan barisan pemain import yang menyerlah.

"Jika beliau tidak lagi bersama pasukan Kedah (sebagai presiden), mungkin penaja utama juga akan tarik diri," katanya.

Menurut beliau, Mukhriz seorang pemimpin yang rajin turun padang setiap kali perlawanan melibatkan pasukan itu sekali gus menyuntik semangat pemain.

"Beliau juga sanggup menggunakan kudrat dan idea sendiri untuk mencari beberapa termasuk yang terkini iaitu rundingan dengan syarikat kosmetik D'Herbs Holding Sdn Bhd.

"KFA jika dengan ketiadaan beliau umpama anak kehilangan bapa. Walaupun patah tumbuh hilang pengganti, tetapi pengganti tidak sama dengan Mukhriz," katanya.

Musim lalu, Kedah menjuarai Liga Perdana selain tampil di pentas akhir Piala Malaysia. Mereka kembali ke Liga Super dengan harapan mengembalikan zaman kegemilangan pada tahun 2007 dan 2008.

Sudah menjadi tradisi menteri besar Kedah akan dilantik sebagai presiden persatuan bola sepak dan prestasi semasa pasukan diukur dengan pengaruh dibawa presiden itu.

Kini slogan "biar jasa jadi kenangan" skuad Helang Merah itu dilihat terpalit kepada Mukhriz yang kini tergugat kedudukannya sebagai menteri besar negeri jelapang padi itu. Jika benar beliau berundur daripada jawatan itu, maka tepatlah kata-kata slogan tersebut. Namun sekecil mana sekali pun, jasa Mukhriz pasti jadi kenangan.

Sumber : malaysiakini

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget