Sehubungan itu, Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida berkata beliau perlu berhati-hati untuk memilih warna berkenaan supaya ia boleh memberi satu sinaran kecemerlangan menerusi merah jambu itu. Katanya, warna yang dimahukan itu bukan sebarang merah jambu tapi lebih kepada warna magenta iaitu antara ungu dan mawar yang dicampur merah muda.
Datuk Vida melihat keadaan di pintu masuk utama Stadium Sultan Muhammad IV yang bakal bertukar wajah sebelum sepak mula Liga Super 2016. |
"Seperti diketahui warna itu adalah kombinasi merah dan putih bergantung kepada kuantiti antara warna itu dicampur. Putih adalah lambang kesucian manakala merah mempunyai tenaga yang melengkapi kesempurnaan. "Oleh itu, warna merah jambu yang dihasilkan akan menimbulkan satu keindahan yang dapat mengurangkan gangguan dan kekerasan terutama ketika perlawanan bola sepak.
"Selain itu, warna ini juga dipilih untuk mengekang kelakuan agresif ketika berada atas padang. Jika kita mahukan juara, pemain perlu mempunyai perasaan tenang supaya boleh mengawal emosinya ketika beraksi menentang pihak lawan," katanya semalam.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Stadium Sultan Muhammad IV yang dicat dengan warna merah jambu adalah antara 35 syarat Pengasas Vida Beauty Qu Puteh, Dr Vida untuk menaja PQPTRW pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. Selain stadium, pasukan Kelantan juga akan tampil dengan jersi berwarna merah jambu seperti dikehendaki Dr Vida bermula Februari ini.
Mengulas lanjut, Dr Vida berkata beliau yakin pemain dan penyokong dapat menerima warna ini kerana ia bukan saja unik tapi mampu memberi tarikan kepada sesiapa saja yang datang ke Kota Bharu. "Saya yakin warna merah jambu ini pasti memberi kesan positif kepada pasukan untuk bangkit sekali gus berjaya menjulang tiga piala pada Liga M musim ini," katanya.
Ditanya mengenai kontraktor yang dilantik oleh KAFA untuk mengecat Stadium Sultan Muhammad IV bermula kelmarin, Dr Vida berkata, buat masa ini pekerja kontraktor itu hanya diarah mengecat warna putih terlebih dahulu untuk membuang warna lama.
"Esok (hari ini) saya akan melakukan tinjauan dan berjumpa dengan syarikat berkenaan untuk melihat warna merah jambu yang bakal digunakan ke atas stadium itu. Jika ia tidak tepat, saya akan pastikan syarikat itu mencari warna yang betul supaya wajah baharu stadium menjadi seperti diinginkan.
"Saya mahu impian untuk menjadikan Stadium Sultan Muhammad IV sebagai mercu tanda negeri ini menjadi kenyataan kerana dihiasi warna yang unik. Saya harap hasil kerja mereka mencapai kualiti yang diharapkan," katanya.
Sumber : bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan