Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa berkata, baki RM4 juta lagi akan digunakan Vida Beauty untuk piala dan plak kejuaraan (RM2 juta), baik pulih stadium (RM1 juta) dan kafeteria serta barang dagangan (RM1 juta).
"Kalau dengan itu (RM4 juta untuk kos pengurusan) kita jadi tak cukup jugalah dan ada beberapa syarat lain yang kita terpaksa rundingkan seperti jumlah tiket dan hak dagangan yang terpaksa diserahkan.
"Saya sebut perkara ini secara sepintas lalu sebab 'trending' dalam laporan berita akan beri masalah kepada KAFA dan akan menimbulkan fitnah," katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan pemilik Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr Hasmiza Othman akan membelanjakan RM20 juta bagi memastikan skuad Pamoga Qu Puteh TRW berada pada prestasi terbaik dalam tempoh dua musim, bermula musim ini.
Beliau dipetik sebagai berkata sebanyak RM16 juta untuk tajaan pasukan Kelantan, RM3 juta bagi kempen promosi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta RM1 juta menganjurkan Liga Datuk Seri Vida Pamoga Qu Puteh di peringkat sekolah, daerah dan negeri.
Mengulas lanjut, Annuar berkata KAFA memerlukan kira-kira RM16 juta untuk kos pengurusan bagi musim ini jika Kelantan bercita-cita mendapatkan khidmat pemain import serta tempatan yang berkualiti.
"Gaji 25 pemain tempatan pula, jika seorang pemain terima gaji purata RM30,000 sebulan, maknanya kos mencecah RM7.5 juta. Kos untuk gaji sahaja lebih RM12 juta,” kataya.
Sumber : hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan