Selasa, 12 Januari 2016

Fauzi Roslan teruja kembali beraksi

Penyerang Pahang, Mohd Fauzi Rozlan mengakui tidak sabar untuk kembali menjalani latihan bersama rakan baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang dijadualkan bermula bulan depan.

Pemain kelahiran Pekan, Pahang yang dipanggil Kojie itu berkata, kecederaan buku lali kanan yang dialami musim 2015 hingga terpaksa menjalani pembedahan pada Oktober lalu memerlukan enam bulan untuk sembuh sepenuhnya.

"Sebahagian besar pemain musim 2016 adalah barisan baharu terutama dengan kehadiran pemain muda yang menyaksikan Pahang serba baharu.

"Namun, di sebalik pembentukan pasukan yang baharu ini saya percaya skuad Tok Gajah akan tetap memberi saingan dan tentangan sengit kepada lawan biarpun pemain muda masih lagi kurang pengalaman.

"Tapi tiada yang mustahil kerana sebelum ini pun Pahang pernah membariskan barisan muda dan berjaya untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap dan mampu menjulang piala," katanya yang kini masih menggunakan tongkat untuk berjalan.

Mohd Fauzi berkata, kehadiran pemain baharu termasuk tiga import diharap memberi kekuatan kepada pasukan. Selain itu, katanya, kehadiran pemain skuad Piala Presiden Pahang dan Harimau Muda C juga diharap membantu memperkasakan Pahang yang kini di bawah bimbingan Ahmad Shaharuddin Rosdi.

"Saya percaya skuad Pahang musim ini dapat melakar kejayaan hasil sentuhan jurulatih kerana dengan pengalaman beliau bersama dua jurulatih berpengalaman iaitu Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan, tiada yang mustahil dilakukan," katanya.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget