Ahad, 27 Disember 2015

Saarvindran ingin balas kepercayaan

Bekas pemain Harimau Muda A, D Saarvindran akan membalas kepercayaan diberikan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang mengekalkannya bersama skuad itu musim depan.

Saarvindran yang menyarung jersi skuad Tok Gajah musim ini percaya aksi lebih mantap dan bertenaga akan dipersembahkan untuk memastikan Tok Gajah meraih kejayaan biarpun sedar beberapa pemain utama musim ini berhijrah.

Menurutnya, sebagai pemain yang baru semusim bersama Pahang, 2016 diharap menjanjikan prestasi terbaik kerana musim lalu prestasinya sedikit merosot atas faktor kecederaan.

“Oleh itu, saya ingin membalas kepercayaan dan peluang diberikan oleh PBNP terutama memastikan senarai kesebelasan utama yang akan dibentuk jurulatih baru turut menyenaraikan saya selaku tonggak utama.

“Tapi saya perlu buktikan kepada jurulatih (Ahmad Shaharuddin Rosdi) saya akan kembali dengan prestasi terbaik bagi memperkasakan jentera tengah pasukan,” katanya semalam.

Pemain berusia 23 tahun itu mahu memikat hati Shaharuddin memandangkan skuad itu kehilangan tiga pemain tengah berkaliber Hafiz Kamal, Azamuddin Akil dan R Gopinathan.

“Saya harap dapat merebut tempat dan lebih banyak beraksi pada musim depan selain tidak sabar untuk memulakan latihan bersama rakan sepasukan yang sudah pasti membabitkan pemain baru.”

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget