Ahad, 27 Disember 2015

Peraturan Harimau Muda tidak releven


Peraturan yang menetapkan bekas pemain Harimau Muda (HM) perlu kembali berkhidmat dengan negeri asal dianggap sudah tidak relevan untuk diguna pakai kerana skuad muda negara itu sudah pun dibubarkan.

Justeru, ia mungkin jalan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah perebutan pemain antara Kelantan dan Sarawak membabitkan bekas pemain Harimau Muda, Syahrul Azwari Ibrahim. Seiring dengan status liga profesional, pengurusan pasukan tempatan juga perlu bersikap demikian dan memberi kebebasan kepada pemain untuk memilih pasukan ingin diwakili.
Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali merasakan situasi dihadapi sekarang cukup tidak adil buat Syahrul Azwari ketika perjalanan kariernya masih jauh.

"Boleh rujuk balik kes Gary Steven Robbat. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kena lihat perkara ini lebih serius. Jangan buat tindakan yang boleh dedahkan kesilapan sendiri.

"Harimau Muda pun sudah dibubarkan... jadi bagaimana peraturan ini masih digunakan?

Jangan bebankan pemain profesional ketika liga juga akan diswastakan. "Ketika kita berada di era profesional, pemain berhak memilih pasukan tanpa terikat dengan sebarang peraturan," katanya ketika dihubungi semalam.

Ini kali kedua Kelantan terbabit dengan isu sama selepas pertikaian tercetus dengan FELDA United musim ini membabitkan perebutan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata berpandukan Artikel 22 status perpindahan pemain bola sepak Malaysia, Syahrul Azwari perlu bersama Kelantan, sekurang-kurangnya setahun.

Takiyuddin berkata andai Syahrul setuju kembali bermain untuk Kelantan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) perlu menaikkan gajinya sebanyak 30 peratus daripada gaji ketika bersama Harimau Muda.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget