Ahad, 27 Disember 2015

Thiago Augusto dan Zah Rahan kekal bersama FELDA United

Teka-teki mengenai dua pemain import FELDA United Thiago Augusto Fernandes dan Zah Rahan Krangar akhirnya terjawab apabila pihak pengurusan mengesahkan masih lagi memerlukan khidmat mereka untuk aksi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut Setiausaha Agung Kelab Bola Sepak FELDA United, Zulkarnain Muhammad mereka sekarang ini dalam proses untuk mencari dua lagi pemain import termasuk bagi mengisi satu kuota dari benua Asia.

“Dua pemain import itu bagi menggantikan Ndumba Makeche yang ke Sarawak dan Bojan Milandinovic (digugurkan).

“Thiago dan Zah Rahan kekal untuk saingan musim depan dan mereka juga menunjukkan prestasi baik terutama pada penghujung musim,” katanya.

Sebelum ini status kedua-dua pemain berkenaan menjadi tanda tanya dengan pengendali, Irfan Bakti Abu Salim, mengambil sikap mengunci mulut dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak pengurusan.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, beliau tidak boleh dedah dua calon pemain import itu kerana bimbang merosakkan proses perbincangan yang sedang berlangsung.

“Apapun, kami mungkin dapat mengikat kedua-duanya dalam masa terdekat kerana mahu melakukan persediaan awal bagi menghadapi saingan musim depan,” katanya, semalam.

Selain itu, Zulkarnain turut mengesahkan dua pemain tempatan, Abdul Shukor Jusoh (Angkatan Tentera Malaysia) dan Idris Ahmad (Perak) bakal memperkuatkan pasukan yang terkenal dengan nama gelaran The Fighters itu untuk saingan musim depan.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget