Jumaat, 18 Disember 2015

Reputasi JDT tarik minat kaum Cina

Reputasi JDT dalam arena bola sepak tanah air bukan sahaja semakin berkembang, malah turut mendapat perhatian pelbagai kaum di negara ini.

Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, ramai ibu bapa dari kaum Cina mula menghantar anak mereka untuk sesi pemilihan skuad belia bawah 12 tahun hingga 15 tahun.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan situasi sebelum ini dan menganggap JDT sebagai pusat perpaduan bangsa Johor.
"Kita akan cuba mencari seberapa ramai pemain yang berbilang bangsa dalam pasukan ini.

"Inilah tujuan saya memanggil jurulatih dari Borussia Dortmund untuk mencari bakat baru kerana mereka tidak akan memilih pemain yang mereka kenal dan hanya yang layak saja terpilih," kata Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu dalam sesi wawancara yang disiarkan di Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.

Tapak stadium baru


Pada musim 2015, pasukan JDT di bawah kendalian Mario Gomez berjaya muncul sebagai juara Liga Super dan mencipta sejarah menjuarai Piala AFC.

Sehubungan itu, TMJ berkata, penyokong perlu faham bahawa nadi pasukan adalah pemain tempatan.

"Jika dilihat pada rekod, 60 peratus kemenangan pasukan JDT adalah tanpa bantuan pemain import. Itu menunjukkan JDT telah membantu pemain tempatan dan menaikkan lagi standard mereka.

"Perkara ini perlu seimbang. Jika ada jurulatih yang bagus, pasukan perlu ada pemain yang bagus. Kalau ada pemain yang bagus, jurulatih tak bagus pun tak guna, juga sebaliknya. Ini adalah ilmu pengetahuan bola sepak untuk anda semua," katanya.

Sementara itu TMJ turut mengumumkan beliau berjaya mendapatkan sebidang tanah untuk dibangunkan dengan sebuah stadium baru di negeri itu.

"Saya baru mendapat tanah dan akan berbincang dengan yang berkenaan untuk mencari (sumber) kewangan untuk membina stadium baru.

"Ia akan menjadi salah satu stadium paling cantik di Asia Tenggara dari segi fasiliti dan kemudahan.

"Saya berharap penyokong dapat memberi sokongan penuh kepada stadium baru ini kerana ianya akan menjadi satu identiti dan juga satu empayar bola sepak Johor. Pelancong pasti mahu melihat stadium baru ini setiap kali ke Johor," jelasnya.

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget