Jumaat, 18 Disember 2015

Peruntukkan RM 19 juta untuk skuad P. Pinang 2016

PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) meletakkan sasaran untuk skuad Harimau Kumbang berada dalam kedudukan enam teratas pada saingan Liga Super 2016. Itu kata presidennya, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketua jurulatih skuad Harimau Kumbang, Jacksen F Tiago mahu anak didiknya itu berusaha memenangi perlawanan itu sekali gus merangkul piala Liga Super musim depan.

“Matlamat kami pada tahun depan sekurang-kurangnya dapat satu piala iaitu Piala FA, Piala Liga atau Piala Malaysia. Itulah matlamat kami dan dari situ kami bergerak ke depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam FAP, di sini, malam kelmarin.

Pada majlis itu, FAP turut memperkenalkan barisan pemain skuad Harimau Kumbang untuk beraksi pada saingan liga musim depan yang turut disertai tiga pemain import baharu, masing-masing dari Brazil, Australia dan Argentina serta enam pemain dari skuad Harimau Muda.

Nazir Ariff berkata, FAP memperuntukkan sebanyak RM19 juta untuk menguruskan skuad negeri menghadapi saingan Liga Super musim depan.

“Bakinya untuk Piala Presiden, pembangunan bola sepak, pasukan remaja dan liga tempatan, banyak tanggungjawab. Persatuan bola sepak negeri mempunyai banyak tanggungjawab tidak seperti pasukan macam Felda, Sime Darby, kami mempunyai banyak tanggungjawab sosial.

“Kami berharap apabila FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) memberi geran, mereka akan mempertimbangkan perkara ini. Tidak boleh beri geran yang sama kepada semua pihak, persatuan negeri mempunyai banyak perbelanjaannya,” katanya.

Ditanya mengenai pasukan mana yang akan memberi saingan kepada skuad Harimau Kumbang, Nazir Ariff berkata, sudah tentu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Felda United dan Kedah.

“Kami masih baru dalam saingan ini. Kami perlu bekerja keras,” katanya.

Mengulas kemasukan enam pemain Harimau Muda dalam barisan pemain Pulau Pinang, beliau berharap mereka dapat mempamerkan teknik baharu dalam pasukan itu memandangkan mempunyai pendedahan yang meluas dan baik.

Sumber : Bernama

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget