Alor Setar: Tiga belas bas membawa 514 penyokong Kedah termasuk dari Kelab Red Eagle Crew (REC) berlepas dari Stadium Darul Aman, di sini, dan Sungai Petani, 11.30 malam tadi.
Wakil REC Ahmad Fahmi Aizat Fadzil,24, berkata, mereka membuat persiapan menempah bas khas dan mencari ahli untuk menyaksikan perlawanan itu sejak seminggu lalu.
Menurutnya, pihaknya bersyukur kerana persiapan berjalan lancar dan ahli kelab turut disertai wanita dan kanak-kanak yang ingin menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi.
"Semua ini hasil sokongan ahli yang mencari dana sendiri untuk ke Shah Alam bagi menyokong Helang Merah.
"Kami akan bergerak dengan 13 buah bas di mana enam di Alor Setar dan tujuh di Sungai Petani membabitkan 514 penyokong bagi memberi sokongan padu.
"Harapan kami pemain Kedah akan mempamerkan aksi terbaik mereka pada perlawanan malam esok dan menang," katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Darul Aman, di sini, malam tadi.
Ahmad Fahmi berkata, dia yakin Kedah akan memenangi perlawanan itu dengan jumlah gol 4-1 bertemu Selangor.
Sumber : Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan