Sabtu, 12 Disember 2015

Marcote sedia serah jawatan jurulatih Kedah


PEMANGKU Ketua Jurulatih Kedah, Ramon Marcote sudah bersedia menyerahkan semula tugas kepada Tan Cheng Hoe bagi mengemudi pasukan Helang Merah pada akhir Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Shah Alam esok.

"Jika Tan (Cheng Hoe) di sini, ya Tan, dia akan (mengetuai pasukan). Tan ada pada masa akhir, bagi saya tugas saya sudah selesai. Sekarang kami memberi tumpuan kepada perlawanan itu.

"Permainan ditumpukan kepada pemain, bukan jurulatih. Hanya para pemain sahaja yang boleh memenangi perlawanan, bukan jurulatih," katanya kepada para pemberita selepas sidang media menjelang akhir Piala Malaysia di sini hari ini.

Tan meninggalkan tugas mengendali pasukan Kedah bermula peringkat suku akhir Piala Malaysia bagi mengikuti siri kursus lanjutan kejurulatihan di China.

Tugas beliau telah diambil alih oleh Marcote yang menyaksikan juara Liga Premier itu mencatat keputusan memberangsangkan sehingga layak ke akhir Piala Malaysia tahun ini.

Bagaimanapun Marcote menegaskan bahawa ia tidak tidak menjadi persoalan kerana beliau sering berhubung dengan Tan bagi memaklumkan perkembangan skuad Kedah.

Tan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pukul 6.30 petang ini dari China dan akan bersama pasukannya pada perlawanan akhir esok.

Sebagai rekod Kedah menjuarai Piala Malaysia selepas mengalahkan Selangor di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2008.

Sumber : Bernama

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget