Isnin, 21 Disember 2015

Jawapan TMJ kepada CEO FMLLP

Kepada Kevin Ramalingam, FMLLP, FAM dan penyokong bolasepak tanahair.

Saya tidak tahu mengapa ada sesetengah pihak memperbesarkan hal ini.

Pertama sekali, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan anugerah ini. Saya berbangga dengan para pemain saya dan semua pemenang, walaupun saya tidak mengiktiraf anugerah tersebut. Saya cuma berkata sedemikian kerana saya tahu akan sistem yang wujud semenjak dulu hingga sekarang, dan saya mengenali ramai yang merupakan sebahagian daripada sistem tersebut. Hari ini, Kevin Ramalingam mengeluarkan kenyataan dalam akhbar Berita Harian bahawa mungkin TMJ telah keliru.

Saya akan membiarkan orang ramai yang menentukan. Bagaimana saya boleh keliru sedangkan saya tahu apa yang sebenarnya berlaku, dan anda, Kevin, merupakan sebahagian daripada sistem ini? Saya tahu di mana letaknya kesetiaan anda, dan anda dibayar setiap bulan oleh FMLLP, dan tidak silap saya, dibayar setiap bulan oleh FAM.

Anda juga telah mengaku kepada saya sewaktu pertemuan kita di hotel Thistle bahawa FAM akan membolot sebahagian besar dana penajaan, yang kononnya digunakan untuk pengurusan liga dan diagihkan kepada pasukan-pasukan yang bertanding.

Oleh itu, saya tidak faham mengapa mereka perlukan belanjawan yang lebih besar, sedangkan mereka tidak lagi perlu menguruskan Harimau Muda, liga ataupun pengadil.

Jadi sebelum anda mengeluarkan kenyataan bahawa saya keliru, lebih baik berfikir panjang kerana tiada penaung atau presiden kelab bolasepak lain yang turun padang lebih daripada saya. Saya tidak keliru bahawa anda dibayar setiap bulan, saya tidak keliru berkenaan di mana letaknya kesetiaan anda, saya juga tidak keliru apabila anda menjelaskan berkenaan agihan dana dan ke mana ianya akan disalurkan mulai 2016.

Percayalah, SAYA TIDAK KELIRU. Berfikirlah sebelum anda mengeluarkan kenyataan sebegitu, kerana ianya tidak masuk akal. Berikan sebab mengapa Mehmet Durokovic tidak dicalonkan? Beliau telah menjulang Piala Malaysia! Berikan satu lagi sebab, saya sangkakan pembakaran suar tidak dibenarkan, tetapi penyokong Pahang menerima anugerah sedangkan mereka kerap kali membakar suar? Saya tidak kisah, dan saya tiada sebarang masalah dengan penyokong Pahang, saya tiada sebarang masalah dengan Pahang, saya juga mempunyai keluarga daripada Pahang, tetapi di sini saya cuma menjelaskan perkara prinsip.

Tidak kiralah dari negeri mana, tidak kira negara atau kelab mana, perkara yang salah tetap salah. Sesiapa yang layak diberikan penghormatan, sepatutnya diberikan kepadanya, tetapi anda perlu telus dan adil. Panel hakim seramai 72 orang pun dipilih oleh anda.

Saya tahu anda hanya menjalankan tugas anda, dan anda perlu melindungi orang atasan anda atau sistem ini, kerana inilah sumber kewangan anda, tetapi tak usah cuba menyalahkan saya dengan mengatakan saya keliru. Percayalah, bukan saya seorang yang berpandangan seperti ini. Mungkin saya selalu bersuara mengenainya, tetapi ramai yang berkongsi pandangan saya bahawa bolasepak Malaysia masih amat korup.

Saya juga ingin menyeru kepada segelintir penyokong bolasepak tanahair supaya membuka minda anda dan jangan terlalu mengikut emosi. Ada diantara anda semua tahu bahawa FAM tidak telus tetapi anda terus  menyokong FAM disebabkan anda cemburu akan pencapaian organisasi bolasepak yang saya bangunkan. Anda tak perlu bersetuju dengan semua kenyataan saya, kerana ini bukan tentang saya tetapi berkenaan bolasepak negara ini.

Kepada Kevin Ramalingan, jika anda benar-benar ingin membantu bolasepak Malaysia, mudah sahaja. Pertama sekali, tangani gejala mengatur perlawanan. Kedua, pengadil mestilah diuruskan badan bebas dan dipantau oleh SPRM; dan akhir sekali, setiap pasukan bertanding mestilah menerima bahagian mereka secara adil daripada hasil penyiaran, supaya mereka tidak terbeban.

Pastikan perkara-perkara ini dilaksanakan terlebih dahulu, daripada cuba mengampu orang atasan dan pergi ke percutian berbayar kelas pertama, sedangkan orang lain bergelut setiap hari dengan sistem ini, berhadapan dengan orang seperti anda dan sekutu-sekutu anda.

Jangan risau Kevin. Saya bukan menentang anda, saya hanya menentang sistem yang sedia ada.

DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Sumber Fb JST

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget