Khamis, 9 Februari 2017

KJ ambil pendekatan tunggu dan lihat

Walaupun sudah dinasihatkan agar melupakan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, namun Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar masih belum membuat sebarang pendirian mengenainya.

Setakat ini, Khairy enggan memberi sebarang ulasan, sebaliknya mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ berhubung isu tersebut.

Khairy adalah salah seorang antara empat tokoh yang dicalonkan oleh ahli gabungan FAM untuk bertanding jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara dalam pemilihan Kongres FAM pada 25 Mac depan.

Tiga lagi tokoh yang turut dicalonkan ialah Tunku Mahkota Johor (TMJ) serta pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Jawatan Presiden FAM telah dikosongkan apabila penyandangnya, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu melepaskan jawatan tersebut selepas menerajuinya pada Mei 2014.

Ketika ditanya mengenai pendiriannya, Khairy menjelaskan bahawa beliau berharap Tunku Ismail dapat mengesahkan pencalonan baginda secara rasmi kepada pihak FAM terlebih dulu dan selepas itu, beliau akan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan hasrat bertanding atau sebaliknya.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai bercanggah dengan pendirian Khairy sebelum ini bahawa beliau akan membatalkan hasrat andai Tunku Ismail bertanding jawatan tertinggi dalam FAM.

“Saya berharap Tunku Ismail mengesahkan pencalonan baginda dengan FAM, sekali gus membolehkan baginda bertanding pada Kongres FAM ke-53 nanti. Buat masa ini saya menunggu Tunku Ismail mengesahkan pencalonan, kemudian baru saya boleh tentukan pendirian saya sama ada bertanding atau tidak,” kata Khairy pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.

Tarikh akhir untuk mengesahkan pencalonan bagi semua jawatan yang dipertandingkan dalam kongres itu nanti adalah pada 20 Februari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Tunku Ismail telah mendapat restu daripada ayahanda baginda, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk bertanding jawatan Presiden FAM dalam kongres badan induk itu pada 25 Mac nanti selepas menerima kunjungan daripada ahli-ahli gabungan FAM di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, Isnin lalu.

Beberapa ahli gabungan itu berpendapat bahawa Tunku Ismail sebagai tokoh paling layak untuk menerajui FAM selepas Tengku Abdullah berundur.

Sumber : kosmo


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget