Biarpun Johor Darul Ta’zim (Johor DT) berdepan cabaran getir kerana perlu beraksi dalam cuaca sejuk, namun ia tidak menghalang Fadhli Shas (gambar) untuk mempamerkan aksi konsisten apabila menentang Gamba Osaka pada saingan play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Suita City, Osaka, petang ini.
Malah katanya, langkah pengurusan kelab Johor DT untuk berada di Osaka lebih awal sejak Sabtu lalu, memberi peluang kepada pemain skuad itu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca pada perlawanan sebenar.
“Kami kena cepat serasi dengan keadaan cuaca yang sejuk kerana jika tidak dilakukan ia akan menjejaskan rentak permainan dan juga boleh menyebabkan pemain akan hilang fokus.
“Kami tidak boleh ubah keadaan cuaca di sini dan hanya kekuatan mental dan tidak boleh memberi apa jua alasan sebaliknya kami kena fokus malah mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan itu nanti.
“Walaupun di atas kertas tampak sukar tapi kami tidak boleh menyerah kalah sebelum berjuang sebaliknya tempoh 90 minit perlawanan menjadi penentu dan berusaha untuk menafikan penguasaan lawan yang kami sedar antara pasukan hebat.
“Saya amat bangga dengan pencapaian kami layak ke saingan penentu ACL dan hanya selangkah lagi untuk menempatkan diri dalam peringkat kumpulan. Jadi kami kena memberi yang terbaik dan cuba mengelak daripada melakukan kesilapan mudah,” katanya.
Fadhli juga tidak menolak betapa pengalaman beraksi menentang skuad Bawah 23 tahun Jepun pada musim 2013 ketika saingan kelayakan Piala Asia membantu untuk memahami cara dan teknik pemain Negara Matahari Terbit itu.
Katanya, corak permainan yang sering dipraktikkan pemain Jepun beraksi dengan permainan pantas dan kerap bertindak pantas menyusup masuk ke dalam kotak penalti untuk melakukan percubaan berbahaya.
“Cara itu yang digemari pemain Jepun dan mereka tidak terlalu bergantung kepada penyerang untuk menjaringkan gol sebaliknya pemain tengah akan bertindak untuk melakukan percubaan jadi kami perlu berwaspada,” ujar Fadhli.
Sumber : hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan