Khamis, 9 Februari 2017

Jurulatih Pulau Pinang digantung empat perlawanan dan denda

Jurulatih Pulau Pinang, Ashley Westwood digantung empat perlawanan selain dikenakan denda RM2,000 setelah didapati bersalah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil dan pihak lawan ketika tewas 0-1 di tangan Perak dalam Liga Super di Stadium Negeri Pulau Pinang, 27 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Kang Hwee Gee berkata, selepas bermesyuarat semalam, Westwood didapati bersalah kerana melanggar ‘Artikel 51.1 (a) Kod Tatatertib’ berkenaan ‘Salahlaku terhadap pegawai perlawanan’.

Tambahnya, ia turut dibaca bersama dengan ‘Artikel 59 (a) Kod Tatatertib’ berkenaan ‘Kelakuan menyinggung dan Fair Play’ dan ‘Artikel 50.1 (c) Kod Tatatertib’ berkenaan ‘Salahlaku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan’.

“Westwood digantung empat perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik; didenda sebanyak RM2,000; dan diberikan amaran keras atau hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Empat perlawanan tersebut adalah pertemuan menentang T-Team dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (penggantungan perlawanan secara automatik) pada Sabtu lalu.

Ia diikuti tiga aksi Liga Super iaitu berdepan Sarawak Sabtu ini di Stadium Negeri Pulau Pinang; lawan Pahang (18 Februari di Stadium Darul Makmur); dan menentang Kedah (25 Februari di Stadium Darul Aman).

Sumber : utusan


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget