Khamis, 9 Februari 2017

Maxsius ingin ledak lebih gol

Ayam tambatan Sabah, Maxsius Musa, bukan saja berhasrat untuk terus menyumbang jaringan buat pasukannya, malah bertekad untuk sekali lagi menjadi penjaring terbanyak Sang Badak, musim ini.

Anak jati Keningau berusia 24 tahun itu muncul penjaring terbanyak pasukannya dengan sembilan gol pada musim lalu dan dalam tiga perlawanan setakat musim ini, dia telah meledak dua gol.

"Saya berharap akan dapat mengekalkan gelaran penjaring terbanyak pasukan musim ini.

"Jika musim lalu dengan sembilan gol, musim ini saya mahu jaringkan lebih daripada 10 gol.

"Selain itu, saya juga ingin membantu Sabah mencapai sesuatu musim ini... ya, sudah pasti setiap pemain berharap akan dapat naik ke Liga Super, begitu juga saya," katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di Stadium Likas, semalam.

Sementara itu, Maxsius berkata selain membantu pasukannya, dia juga berhasrat untuk kembali menyarung jersi skuad negara pada masa akan datang.

"Saya pasti itu impian setiap pemain (mewakili negara), namun saya perlu bekerja lebih kuat dan mudah-mudahan jika ada rezeki, saya akan dapat menyumbang sesuatu untuk Malaysia," katanya.

Maxsius sebelum ini pernah beraksi bersama skuad Harimau Muda B dalam Liga Singapura (S-League) pada 2013 sebelum membuat keputusan untuk menyertai negeri kelahirannya pada tahun berikutnya.

Dalam pada itu, dia berkata suasana dalam pasukan Sabah kini bertambah baik dengan persefahaman di antara mereka semakin tinggi.

"Kami seperti satu keluarga besar yang ingin mencapai sesuatu yang terbaik buat pasukan.

"Jurulatih yang ada sekarang juga banyak memberi tunjuk ajar berguna walaupun kadang-kadang latihan kami sangat memenatkan.

"Sebagai pemain, kami perlu bersikap profesional."

Sumber : stadiumastro


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget