Pemain import Johor Darul Ta'zim (JDT) Hariss Harun akan dipinjamkan ke kelab divisyen dua Sepanyol, Ce L'Hospitalet selama setahun.
Perkara itu diumumkan dalam satu kenyataan yang dimuatnaik dalam laman Facebook Johor Southern Tiger pada petang Khamis.
Pemain kelahiran Singapura itu akan berlepas ke Sepanyol pada Ahad ini.
"Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan selamat jalan dan selamat maju jaya buat Hariss yang akan berlepas ke Sepanyol pada Ahad ini.
"Hariss akan dipinjamkan ke sebuah kelab divisyen dua di Sepanyol, Ce L'Hospitalet dalam masa setahun," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, keputusan meminjamkan Hariss dilakukan bagi membolehkan pemain berusia 26 tahun itu menimba pengalaman sekali gus mempertingkatkan lagi mutu permainan beliau.
"Pastinya perancangan jangka panjang ini bakal memberikan impak yang positif kepada kelab untuk masa akan datang," katanya.
Pada Disember lalu, bekas ketua jurulatih JDT, Mario Gomez mengumumkan kelab itu berhasrat untuk menghantar Hariss ke Portugal atau Jepun secara pinjaman selama setahun sebelum jawatannya diganti Benjamin Mora.
Sumber : mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan