Rabu, 15 Februari 2017

Empat penyokong Pulau Pinang dipenjara

Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM7,000 setiap seorang kepada empat lelaki atas tuduhan merusuh ketika perlawanan bola sepak Liga Super antara Pulau Pinang dan Sarawak, Sabtu lalu.

Tertuduh, Muhamad Shahrin Abdullah, 19; Hafizi Harun, 31; Muhammad Faizrul Iqmal Zulkifli, 20, dan Abu Halim Yusof, 19, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shamshol Azwa Martadza.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada jam 11.30 malam, 11 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pertuduhan berasingan, Muhammad Faizrul yang bekerja sebagai peniaga turut dijatuhkan hukuman penjara empat hari dan denda RM6,000 kerana memiliki bahan letupan pada tarikh, tempat dan masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Shamshol Azwa kemudian mengarahkan hukuman penjara dijalankan serentak, mulai tarikh semua tertuduh ditahan, pada 11 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan, manakala Abu Halim diwakili peguam Harbajhan Kaun, selain tiga tertuduh lain diwakili peguam Foo Siew Peng.

Sumber : bharian


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget