Rabu, 8 Februari 2017

Annuar akan teruskan hasrat tanding jawatan Presiden FAM

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa akan meneruskan hasrat untuk bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tiada calon lain mengesahkan untuk bertan­ding hingga hari ini.

Tegasnya, selain itu, keputusan itu dibuat berikutan hak yang ada bagi setiap individu untuk merebut jawatan tersebut berdasarkan peraturan yang ada dalam badan induk bola sepak negara berkenaan.

Sehubungan itu, beliau telah menyerahkan borang pencalonan di pejabat persatuan itu semalam bagi tujuan pengesahan.

“Saya telah berjumpa de­ngan Setiausaha Agung FAM dan dia cakap tiada siapa yang mahu bertanding. Jadi saya takut tiada presiden nanti. Setakat ini saya telah menyerahkan borang pencalonan dan menandatangani su­rat persetujuan (untuk bertan­ding).

“Lagipun sesiapa sahaja mempunyai hak untuk bertanding,” ka­tanya ketika ditemui semasa Majlis Perjumpaan Bersama Pertubuhan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Annuar enggan mengulas apabila ditanya ber­ke­naan pencalonan lain.

“Masa masih panjang hingga ke tarikh­nya nanti dan saya tidak mahu memberi komen tentang orang lain. Kalau ada apa-apa biarlah saya umumkan selepas ini,” tegasnya.

Annuar sebelum ini pernah menyatakan sekiranya Tunku Ismail bersetuju untuk bertanding jawatan Presiden FAM, maka beliau sedia berundur untuk memberi laluan kepada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku apabila beliau tetap meneruskan niatnya, sekalipun TMJ telah pun mengesahkan akan bertanding.

Sumber : utusan


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget