Ketua jurulatih skuad Harimau Kumbang, Nenad Bacina berkata, perlawanan itu merupakan saingan yang dinanti-nantikan memandangkan Johor DT yang kini mengumpul 39 mata, adalah pasukan pilihan.
“Johor DT sebuah pasukan yang kuat dan Pulau Pinang kini menduduki tangga ke-11 liga. Bagaimanapun, kami akan berusaha untuk meraih mata,” kata Bacina ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad tersebut di Pulau Pinang semalam.
Ditanya sama ada pemain tengah, Faiz Subri akan diturunkan pada perlawanan itu, beliau berkata, kemungkinan itu ada tetapi sama ada dalam kesebelasan utama atau tidak belum diputuskan.
“Semangat pemain kini berada pada tahap tinggi dan mereka akan memberi yang terbaik. Kami hanya akan membuat keputusan tentang siapa yang akan diturunkan ataupun tidak, pada pagi Rabu nanti,” katanya.
Pengarah Urusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Bojan Hodak ketika ditemui pula berkata, walaupun Johor DT pasukan yang kuat, kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama.
“Kami akan kekal optimis kerana semua permainan bermula dengan 0-0 dan pemain mempunyai 90 minit untuk memberi yang terbaik,” katanya.
Selepas menentang Johor DT, Pulau Pinang akan bertemu Sarawak pada 6 Ogos di Kuching dan kedua-dua pengendali pasukan Harimau Kumbang itu yakin untuk mengutip mata kerana pasukan lawan dianggap setaraf dengan kemampuan Pulau Pinang.
Sarawak kini berada di tangga ke-10 dengan 15 mata, satu mata mengatasi Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan