Isnin, 18 Julai 2016

TMJ mahukan agihan duit penajaan secara adil : KJ

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, akan mengadakan perjumpaan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bagi membincangkan isu pengagihan duit penajaan yang dikhuatiri diuruskan secara tidak adil seperti dibangkitkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Tunku Ismail Sultan Ibrahim membangkitkan isu itu ketika perbualan telefon selama 20 minit bersama Khairy.

"Apa yang dikehendaki TMJ adalah pengagihan wang penajaan yang lebih adil kepada kelab dan negeri.

"Saya mahu cuba menjadi orang tengah supaya kemelut ini dapat kita selesaikan dengan cepat," katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional, Bernama.

Isu pengagihan duit tajaan bukanlah pertama kali diutarakan TMJ, namun sehingga kini isu itu masih belum menemui jalan penyelesaian.

Pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT) itu melihat formula pengagihan yang digunakan ketika ini tidak memihak kepada negeri dan kelab, sebaliknya menguntungkan FAM yang mengaut sebahagian besar daripadanya.

Khairy, bagaimanapun, bertekad memainkan peranan penting dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Saya percaya dan yakin semua ada peranan yang boleh dimainkan seperti Tengku Mahkota Pahang dengan kedudukan dalam FIFA manakala TMJ dengan kebangkitan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Saya harap dalam tempoh masa terdekat, dalam dua tiga minggu ini, saya boleh mainkan peranan saya sebagai Menteri Belia dan Sukan untuk melihat bagaimana kita dapat sumbangan daripada semua pihak untuk bangunkan semula pasukan bola sepak negara," katanya.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget