Ahad, 17 Julai 2016

Mike Mulvey direhatkan, Presiden PBSNT akan lepas jawatan

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini membuat keputusan drastik dengan merehatkan ketua jurulatihnya, Mike Mulvey.

Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, pula turut bersetuju untuk melepaskan jawatan sekiranya pasukan itu gagal mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Wan Ahmad Nizam juga memaklumkan jawatan ketua jurulatih akan dipikul buat sementara waktu oleh penolong jurulatih, Mustaffa Kamal Abdul Wahab, sambil dibantu ketua jurulatih skuad Piala Presiden Terengganu, Roshadi Wahab.

Calon ketua jurulatih baharu hanya akan ditentukan oleh jawatankuasa pengurusan baharu yang akan dibentuk kelak.

“Kami merehatkan ketua jurulatih (Mike Mulvey) berkuat kuasa hari ini dan keputusan ini tidak melibatkan mana-mana pemain memandangkan kami masih dibelenggu masalah kecederaan serta jendela perpindahan yang sudah ditutup.”

“Saya juga telah bersetuju untuk meletakkan jawatan tetapi proses pertukaran pucuk pimpinan perlu melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) terlebih dahulu kerana peralihan presiden perlu menggunakan saluran yang betul.

“Tetapi jika Terengganu gagal mara ke suku akhir Piala Malaysia, saya akan berundur secara automatik.

“Lebih baik saya mengundur diri, lebih-lebih lagi Insya-Allah Menteri Besar akan mengambil alih jawatan presiden daripada saya dan itu lebih baik.

"Jika kita lihat kebanyakan pasukan dalam Liga Malaysia, jawatan itu memang dipegang Menteri Besar kecuali Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pulau Pinang.

“Tempoh empat tahun yang diberikan kepada saya sudah cukup, ternyata untuk membawa pasukan bola sepak terlalu sukar dan saya terpaksa akur, jadi ini adalah keputusan terbaik,” katanya lagi.

Pengumuman itu dibuat dalam satu mesyuarat khas tengah hari tadi yang turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.

Masalah kejatuhan prestasi bukan kali pertama berlaku kepada skuad Sang Penyu musim ini.

Ahmad Yusof turut direhatkan selaku ketua jurulatih sebelum dipecat Februari lalu gara-gara prestasi hambar pada awal musim dan kemudian digantikan oleh Mike Mulvey yang mengalami nasib sama dengan rentetan empat kekalahan berturut dalam saingan Liga Super sepanjang bulan April lalu.

Kekalahan 1-2 kepada Melaka United, 12 Julai lalu, serta kekalahan 1-6 yang mengaibkan kepada Kelantan kelmarin, ternyata membawa padah kepada jurulatih berasal dari England itu yang membawa kepada penyingkirannya.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget