Rabu, 27 Julai 2016

KENYATAAN PRESIDEN PFAM BERHUBUNG KEPADATAN JADUAL LIGA

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera buat semua. Saya ingin menarik perhatian pihak FMLLP dan FAM berkenaan isu kepadatan jadual liga bagi setiap pasukan yang beraksi di Liga Super dan Liga Premier.

Sebenarnya, perkara ini telah dibangkitkan berulang kali selama ini baik oleh para pemain mahupun para jurulatih, namun agak hairan apabila melihat isu ini masih berlarutan.

Oleh itu, saya terpanggil untuk mengutarakan hal ini bagi ke berapa kalinya agar pandangan ini benar-benar diambil perhatian secara serius oleh FMLLP dan FAM. Saya melihat kebanyakan jadual perlawanan permainan tidak meletakkan rehat yang secukupnya iaitu minimum 3 hari masa rehat antara 2 perlawanan.

Menurut kajian yang diterbitkan oleh American Journal of Sport Medicine oleh Dupont G. (2010) telah mencadangakan bahawa rehat minimum antara dua perlawanan mestilah sekurang-kurangnya 72 jam bagi memastikan risiko mendapat kecederaan dapat dikurangkan.

Kajian itu juga disokong dengan kajian yang dilakukan oleh American Academy of Pediatrics (AAP) apabila mendapati atlet yang mendapat rehat secukupnya antara 72 jam hingga 92 jam mempunyai 68% peluang untuk mengelak kecederaan.

Antara perkara yang perlu diambil kira dalam penjadualan perlawanan ialah tempoh masa yang diberikan untuk pemain berehat selepas sesuatu perlawanan, dan waktu perjalanan pasukan untuk perlawanan yang seterusnya.

Saya mengambil contoh jarak perlawanan antara pasukan Perak v Terengganu (23 Julai 2016) di Ipoh dilangsungkan hanya dua hari masa rehat selepas pertemuan pasukan Felda United v Terengganu (20 Julai 2016) di Jengka. Antara perlawanan permainan lain adalah seperti pertemuan antara Kelantan v Pahang (23 Julai 2016) juga hanya memperuntukkan dua hari masa rehat selepas pertemuan antara Selangor v Kelantan (20 Julai 2016) di Shah Alam.

Perkara yang sama turut disuarakan oleh Jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan apabila tonggak utamanya terpaksa turun beraksi dalam tempoh tidak sampai 72 jam. Keadaan ini berlaku ketika pasukan PKNS FC tidak mendapat rehat yang cukup apabila dijadualkan bertemu dengan DRB Hicom pada Mei yang lalu. Hal yang sama berlaku kepada pasukan PKNS FC pada 22 Julai ketika perlawanan antara Sabah v PKNS (22 Julai 2016) di Kota Kinabalu dijadualkan hanya tiga hari selepas perlawanan antara Perak v PKNS (19 Julai 2016) di Ipoh, termasuk waktu perjalanan pasukan dan tempoh rehat.

Ini hanyalah beberapa contoh kerana terdapat beberapa lagi perlawanan melibatkan pasukan Liga Super dan Liga Perdana yang memperuntukkan masa rehat yang sangat sedikit untuk pemain menjalani proses pemulihan dan rehat dari perlawanan sebelumnya, dan masa perjalanan pasukan yang diambil untuk perlawanan yang seterusnya. Keadaan sebeginilah yang akhirnya membawa risiko kecederaan kepada kami, selain kesan keletihan, kelesuan dan seterusnya menjejaskan persembahan di atas padang.

Saya amat-amat berharap dan menggesa agar FMLLP dan FAM mengambil serius akan hal ini demi menjaga keadaan para pemain dan seterusnya memastikan kualiti liga berada di tahap yang optimum. Agak malang sekiranya kualiti liga menurun hanya disebabkan oleh masalah penjadualan liga yang tidak mengambil kira keadaan para pemain.

Sehubungan itu, saya percaya perkara ini masih boleh diperbetulkan dan inilah perkara yang harus menjadi subjek post-mortem oleh FMLLP selepas semusim mengendalikan liga. Bagi memastikan agar masalah kepadatan ini tidak berulang, kami di PFAM amat berbesar hati untuk sama-sama dipanggil duduk semeja dalam proses penjadualan liga supaya kebajikan para pemain dan kepentingan setiap pasukan dijaga sepenuhnya.

Hairuddin Omar
Presiden PFAM



Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget