Selasa, 5 Julai 2016

Jamal Mohd Ari pengurus baharu skuad Perak

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Jamal Mohd Aris dilantik menggalas tugas selaku pengurus skuad The Bos Gaurus yang baru bagi menggantikan Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Jamal akan berganding bahu bersama jurulatih dari Jerman, Karl Heinz Weigang yang berpengalaman luas dan tidak asing lagi di dalam kancah bolasepak negara yang telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih Perak TBG sebelum ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAFA, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan menerusi satu kenyataan media.

Selain itu, Abdul Puhat turut mengumunkan rombakan berkaitan dengan pemain-pemain import bagi skuad The Bos Gaurus.

“Khidmat pemain import dari Uzbekistan iaitu Vokhid Shodiev telah ditamatkan di atas persetujuan bersama dan tempat beliau telah digantikan oleh seorang lagi pemain dari Uzbekistan iaitu Oybek Kilichev.

“Pemain import ke-empat Perak TBG Erick Weeks Lewis telah tamat kontraknya dan tempat beliau diganti dengan pemain import yang baru iaitu Xhevahir Sukaj dari Albania.

“Ini membolehkan PAFA mengekalkan kuota pemain Asia sepertimana yang disyaratkan oleh pihak FAM,”katanya.

Beliau turut mengumumkan tentang penyertaan semula dua bekas pemain Perak.

“Dimaklumkan juga tentang kemasukan semula dua orang bekas pemain pasukan Perak TBG iaitu Razali Umar Kandasamy dan Muhammad Syamil Khairi bagi memperkuatkan barisan pemain tempatan yang sedia ada.

“PAFA berkeyakinan penuh terhadap rombakan yang dibuat ini, khususnya setelah mengambil kira beberapa faktor tertentu berhubung pencapaian Perak TBG pada separuh pertama Liga Super 2016,”ujarnya.

Abdul Puhat berkata, rombakan ini dibuat untuk menghadapi baki saingan Liga Super 2016 dan Piala Malaysia 2016 yang akan bermula serentak.

Sumber : peraktoday

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget